Malaysia antara 10 destinasi popular pilihan pembeli hartanah China, ekspatriat Barat – Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Malaysia antara 10 destinasi popular pilihan pembeli hartanah China, ekspatriat Barat – Juwai IQI

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Malaysia menjadi satu daripada 10 destinasi popular pilihan pembeli hartanah dari China dan ekspatriat Barat, kata Juwai IQI memetik data daripada dua laporan baharu.

 

Firma itu berkata laporan baharunya mendedahkan bahawa pembeli rumah China menjadikan Malaysia destinasi keenam paling popular mereka, manakala laporan kedua, hasil tinjauan InterNations dengan 12,000 responden, mendapati ekspatriat Barat meletakkan Malaysia sebagai tempat keempat terbaik di dunia.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata Malaysia dan negara Asia Tenggara lain membentuk empat daripada 10 negara teratas yang menerima pelaburan hartanah China paling banyak, berdasarkan jumlah pertanyaan pembeli  yang diterima melalui platform Juwai IQI.

 

Thailand, Malaysia, Vietnam dan Singapura berada dalam 10 teratas bagi rantau ini.

 

"Apabila bercakap mengenai pembeli China, mereka telah melakukan penjimatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang boleh digunakan untuk pembelian hartanah di luar negara.

 

“Mengikut statistik rasmi, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 sahaja, deposit simpanan China melonjak nilainya sebanyak RMB 26.3 trilion (AS$3.6 trilion atau RM16.5 trilion),” katanya.

 

Selepas tiga tahun sempadan tertutup, Kashif berkata orang China memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk berpindah luar negara dan 712,000 ekspatriat dari China dijangka berpindah ke Australia, Kanada dan Amerika Syarikat menjelang 2025.

 

Di samping itu, orang China juga merupakan peserta paling ramai di dunia dalam program visa emas, menyumbang 46% daripada visa yang diluluskan di Australia dan Greece dan 31% di Portugal.

 

Sementara itu, Kashif berkata ekspatriat Barat meletakkan Malaysia di tempat keempat terbaik di dunia untuk ekspatriat dan satu-satunya tempat terbaik di hemisfera Asia.

 

"Malaysia menduduki tempat kedua untuk perumahan dan keempat untuk bahasa, meletakkannya jauh di atas negara ASEAN yang lain,” jelasnya.

 

Menurut Kashif, Malaysia menduduki tempat kelima di dunia untuk kepuasan kewangan dan kos sara hidup, ditambah statusnya sebagai negara yang mesra, di mana ekspatriat meletakkannya dalam sepuluh teratas global dalam 'kemudahan mencari kawan.'

 

"Berbanding dengan destinasi utama lain, Malaysia mempunyai kedudukan tinggi dalam kalangan ekspatriat tetapi mempunyai populasi pemastautin ekspatriat yang agak kecil. Negara kediaman yang paling biasa bagi ekspatriat ialah Jerman, Sepanyol, UAE, Amerika Syarikat dan Switzerland,” katanya. - DagangNews.com