Malaysia destinasi ke-6 tertinggi dicari pelancong China, pengecualian visa lonjakkan lagi minat - Airbnb | DagangNews Skip to main content

Malaysia destinasi ke-6 tertinggi dicari pelancong China, pengecualian visa lonjakkan lagi minat - Airbnb

Malaysia khususnya Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu menjadi antara destinasi tertinggi dicari tetamu Airbnb dari China./Gambar FB Motac
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jan - Malaysia muncul sebagai salah satu daripada 10 destinasi carian tertinggi tetamu Airbnb dari China pada percutian musim sejuk kali ini.

 

Menurut Airbnb, senarai pihaknya menunjukkan Malaysia berada di kedudukan keenam mendahului destinasi pelancongan popular lain seperti United Kingdom (UK) dan Korea.

 

Bukan itu sahaja, data Airbnb juga menunjukkan Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu berada dalam senarai 20 bandar yang paling banyak dicari pelancong China, masing-masing di tempat ke-16 dan ke-19 mengatasi Paris dan Auckland.

 

Ini sejajar dengan langkah kerajaan membenarkan kemasukan tanpa visa kepada pelancong China selama 30 hari mulai 1 Disember lalu. 

 

Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong, dan Taiwan,  Amanpreet Bajaj berkata, Malaysia telah lama menjadi destinasi popular dalam kalangan tetamu China di Airbnb dan ini terus meningkat dengan langkah pengecualian visa. 

 

"Pengecualian visa 30 hari yang diumumkan kerajaan Malaysia tahun lalu meningkatkan lagi populariti Malaysia dalam kalangan pengembara China.

 

airbnb
Amanpreet Bajaj

 

"Kami percaya inisiatif ini akan melonjakkan jumlah pelawat dan mendorong kebangkitan semula pelancongan Malaysia pada era pasca pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penginapan musim sejuk diukur berdasarkan rekod tarikh daftar masuk antara 22 Disember  2023 dan 29 Februari 2024.

 

Berdasarkan data Airbnb untuk pencarian penginapan oleh pelancong China ketika musim cuti panas lalu, Malaysia berada di kedudukan kelapan di samping negara Asia Pasifik lain.

 

Menurut Amanpreet, sebagai rakan kongsi yang berdedikasi, Airbnb kekal komited untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan Malaysia sebagai destinasi global dan terus memacu pemulihan pelancongan negara.

 

Airbnb pada tahun lalu melancarkan pakej promosi pulau-pulau menarik di Asia Tenggara yang turut menampilkan Langkawi.

 

Selain itu, syarikat tersebut juga bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengenal pasti dan mempromosikan penginapan Airbnb yang telah diperakui secara rasmi oleh MDEC sebagai Hab DE Rantau mesra nomad digital, untuk terus memantapkan Malaysia sebagai hab pilihan untuk nomad digital di rantau ini.- DagangNews.com