Malaysia jadi tumpuan syarikat asing bagi kembangkan perniagaan, asas ekonomi kukuh, JS SEZ antara faktor - UOB | DagangNews Skip to main content

Malaysia jadi tumpuan syarikat asing bagi kembangkan perniagaan, asas ekonomi kukuh, JS SEZ antara faktor - UOB

Perniagaan luar negara ingin mengembangkan perniagaannya di Malaysia. Gambar NAIM AZIZ/ DagangNews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malaysia disenaraikan sebagai negara paling penting bagi syarikat ASEAN dan Greater China yang ingin mengembangkan perniagaan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata kajian UOB Malaysia.

 

Tinjauan Perniagaan UOB 2024 (PKS & Perusahaan Besar) itu menunjukkan perniagaan luar negara ingin berkembang ke Malaysia disebabkan oleh asas ekonomi yang kukuh dan daya tarikan negara sebagai hab perniagaan serantau.

 

"Ini didorong oleh strategi China+1, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ), peningkatan permintaan industri semikonduktor global dan kenaikan dalam amalan kemampanan dalam kalangan perniagaan dan negeri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

 

Kajian tahunan UOB itu telah meninjau lebih 4,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan besar merentasi tujuh pasaran, termasuk lebih 500 perniagaan Malaysia untuk memahami prospek perniagaan dan jangkaan utama PKS dan perusahaan besar di Malaysia, Hong Kong SAR, Indonesia, Tanah Besar China, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, kajian itu turut menunjukkan perniagaan tempatan sedang bersiap sedia untuk tempoh pertumbuhan kerana mereka yakin dengan potensi ekonomi negara.

 

Kajian itu turut menunjukkan 76% perniagaaan Malaysia bersikap positif tentang persekitaran semasa dan menjangkakan ia akan bertambah baik. 

 

"Sektor yang paling positif tentang persekitaran perniagaan semasa ialah industri minyak dan gas iaitu 90%, serta sektor pembuatan dan kejuruteraan iaitu 80%. 

 

"Tujuh daripada 10 perniagaan juga megunjurkan pertumbuhan dalam pendapatan pada setiap tahun sepanjang tiga tahun akan datang. 

 

"Walaupun statistiknya positif, banyak perniagaan sedang pulih daripada kelembapan ekonomi serta berhati-hati terhadap kesan inflasi dan kos operasi tinggi," kata UOB Malaysia.

 

Tinjauan itu berkata, perniagaan tempatan mempunyai tiga tumpuan utama dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang, iaitu mengurangkan kos, mengamalkan penyelesaian digital untuk meningkatkan produktiviti dan berusaha mencari pelanggan baharu.

 

“Hampir 80% perniagaan Malaysia ingin berkembang ke luar negara untuk meningkatkan keuntungan, menambahkan pendapatan dan membina reputasi mereka sebagai perniagaan antarabangsa. 

 

“Dalam kalangan negara ASEAN, Indonesia merupakan negara paling penting yang ingin dimasuki oleh perniagaan tempatan, diikuti oleh Singapura, Thailand dan Brunei,” ulasnya.

 

Selain itu, tinjauan tersebut melaporkan perniagaan ingin menetapkan dan mengamalkan matlamat kemampanan ke dalam operasi mereka kerana ia akan menarik pelabur, memudahkan kerjasama perniagaan dengan syarikat multinasional, serta meningkatkan jenama dan reputasi syarikat.

 

“Lapan daripada 10 perniagaan tempatan percaya bahawa kemampanan adalah penting tetapi hanya 39% telah melaksanakan amalan kemampanan. 

 

“Di barisan hadapan ialah sektor perkilangan dan kejuruteraan, iaitu 53%, diikuti oleh perindustrian, minyak dan gas, 45% serta komuniti dan peribadi iaitu 40%,” ulasnya. 

 

Tinjauan itu turut berkata, bagi memastikan penggunaan yang lebih baik, syarikat memerlukan lebih banyak sokongan kewangan dalam bentuk insentif atau rebat cukai, pilihan pembiayaan mampan serta akses yang lebih mudah kepada pembiayaan atau geran.

 

Sementara itu, syarikat juga memerlukan penyediaan program latihan bagi melatih semula atau meningkatkan kemahiran kakitangan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, UOB Malaysia kekal komited untuk memanfaatkan rangkaian serantau yang luas, kepakaran sektor yang kukuh dan pengetahuan pasaran tempatan.

 

"Ini bagi menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan selain mempermudahkan lebih banyak pelaburan langsung asing dan perdagangan ke dalam negara,” ujarnya.- DagangNews.com