Malaysia perlu tangani 3 isu utama dalam sektor perladangan, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu tangani 3 isu utama dalam sektor perladangan, kata Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan memandangkan ia masih dibebani dengan tiga isu utama yang harus ditangani Malaysia.

 

Isu tersebut termasuk kejatuhan hasil, kemerosotan kawasan tanaman dan kehilangan daya saing harga minyak sawit negara berbanding Indonesia disebabkan struktur cukai eksport republik itu.

 

Penganalisisnya, Ong Chee Ting berkata, walaupun kekurangan pekerja dijangka kembali normal menjelang suku kedua 2023, isu-isu lain yang menjejaskan sektor kelapa sawit di Malaysia perlu ditangani. 

 

Antaranya, kawasan tanaman sawit di Malaysia semakin menurun buat tahun ketiga berturut-turut dengan susut lagi 0.063 juta hektar pada 2022 kepada 5.67 juta hektar. 

 

Beliau mendapati kawasan tanaman di Semenanjung Malaysia susut 0.063 juta hektar diikuti Sabah (0.016 juta hektar) manakala Sarawak meningkat sedikit 0.016 juta hektar menjadikan keseluruhan penurunan kawasan tanaman sebanyak 0.225 juta hektar antara 2020 dan 2022.

 

"Ini kemungkinan disebabkan penukaran tanah kepada tanaman pertanian lain, sebahagiannya disebabkan oleh penyakit kelapa sawit, kekurangan pekerja dan minat dalam generasi muda dan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

 

"Selain itu, keuntungan yang lebih baik bagi tanaman lain dan penukaran kawasan estet yang strategik kepada pembangunan hartanah atau infrastuktur seperti ladang solar turut menjejaskan kawasan tanaman sawit di negara ini," katanya dalam nota kajian.

 

Menurut Chee Ting, dari segi persaingan harga pula, harga purata jualan bagi minyak sawit mentah Malaysia berlegar sekitar RM5,088 satu tan metrik pada 2022 berbanding Indonesia sekitar RM3,753 satu tan metrik, sebahagian besarnya disebabkan cukai eksport yang tinggi di negara tersebut.

 

Katanya, ASP minyak sawit mentah yang lebih rendah di Indonesia bermakna kos bahan mentah yang lebih rendah untuk pemain hiliran di negara ini, yang seterusnya meningkatkan margin pemain hiliran di Indonesia.

 

"Secara dasarnya, cukai eksport Indonesia yang besar boleh mengganggu dan akan terus menjejaskan daya saing harga minyak sawit di Malaysia," jelasnya.

 

Beliau berkata, sektor perladangan di Malaysia berdepan dengan isu penurunan hasil yang terendah dalam tempoh 24 tahun kemungkinan disebabkan masalah kekurangan buruh dan pokok sawit yang semakin berusia.

 

Pada 2022, hasil minyak sawit mentah Malaysia susut 1% tahun ke tahun kepada 3.05 tan metrik per hektar manakala hasil pengeluaran buah tandan segar adalah lebih tinggi sekitar 15.49 tan  metrik per hektar.

 

"Kali terakhir Malaysia merekodkan hasil yang rendah ini adalah pada 1998 disebabkan kemarau teruk yang dicetuskan oleh super El Nino pada 1997 hingga 1998.

 

"Secara keseluruhan, pengeluaran minyak sawit mentah pada 2022 adalah lebih tinggi sedikit pada 18.45 juta apabila keluaran dan hasil meningkat menjelang akhir tahun lalu berikutan kemasukan pekerja asing secara beransur-ansur," katanya. - DagangNews.com