Malaysia peroleh RM20 bilion daripada eksport getah pada 2023 - MRC | DagangNews Skip to main content

Malaysia peroleh RM20 bilion daripada eksport getah pada 2023 - MRC

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Malaysia telah meraih RM20 bilion daripada eksport getah pada 2023, dengan 59.1% atau RM11.9 bilion daripadanya adalah daripada sarung tangan getah, kata Majlis Getah Malaysia (MRC).

 

Agensi itu berkata, produk getah Malaysia dieksport ke lebih 190 negara, dengan Amerika Syarikat (29%) dan Kesatuan Eropah (19%) sebagai dua destinasi eksport utama.

 

“MRC komited terhadap visinya untuk menjadikan Malaysia pengeksport utama pengeluaran produk getah yang lestari.

 

“Dengan tumpuan kepada kualiti dan kemampanan, MRC menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab melalui inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sambil membina hubungan kukuh dengan pihak berkepentingan,” tambahnya.

 

Menurut MRC, permintaan global kukuh untuk kelestarian terus berkembang, dengan pengguna menuntut produk yang mampan daripada segi alam sekitar dan etika.

 

“Industri digesa mengurangkan kesan alam sekitar, menegakkan etika termasuk menjalankan perniagaan tanpa memberi impak negatif kepada alam sekitar, komuniti atau masyarakat keseluruhan.

 

“Sebagai penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, penggunaan amalan kelestarian dan mampan akan menjadi langkah penting ke hadapan bagi industri getah,” katanya.

 

MRC, yang menyedari keperluan untuk perubahan ini, telah mengadakan Persidangan Getah ESG 2024 pertamanya selama dua hari yang berakhir hari ini.

 

Ia telah mempelawa pihak berkepentingan industri, pakar serta pemimpin bagi mempromosi, menggalakkan dan memperkukuh penggunaan kelestarian dalam industri getah.

 

Dengan slogan, "Memacu ESG untuk masa depan industri getah Malaysia yang berdaya tahan", persidangan itu meneroka strategi penggiat industri dan pihak berkepentingan mengharmonikan usaha kemampanan dengan aspek ESG, pematuhan sosial serta amalan berdaya tahan.

 

Pengerusi MRC, Datuk Seri Mohamad Suparadi berkata objektifnya adalah untuk memastikan kejayaan jangka panjang sambil mewujudkan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

“Ini melibatkan pelaburan dalam penyelidikan untuk alternatif lebih mesra alam selain melaksanakan strategi bagi meminimumkan pembaziran serta menjimatkan tenaga, dan jika mungkin, menukarnya kepada produk sampingan lain,” katanya.  - DagangNews.com