KUALA LUMPUR 9 Sept - Kesemua pesawat Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai akan dinaik taraf menerusi kerjasama dengan industri pertahanan India.
Kedua-dua negara dikatakan bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan tumpuan khusus pada penyelenggaraan dan naik taraf pesawat tersebut.
Menurut media pertahanan India, menerusi kerjasama yang dicadangkan pesawat-pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM akan dinaik taraf menggunakan komponen buatan India.
Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga mengukuhkan perkongsian strategik mereka di rantau ini.
Sebagai tambahan kepada peningkatan prestasi Sukhoi SU-30MKM, kedua-dua negara sedang meneroka bidang kerjasama lain dalam penyelenggaraan pesawat tempur buatan Rusia itu.
Bagaimana pun, tiada kenyataan rasmi daripada TUDM ataupun Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung perkara ini.
Cuma berdasarkan halatuju masa hadapan TUDM, memang pesawat Sukhoi SU-30MKM akan diguna sehingga tahun 2040 sejajar dengan pelan CAP55.
Justeru, ada keperluan untuk kesemua pesawat Sukhoi SU-30MKM dinaik taraf dalam masa ditetapkan agar pesawat dapat terus dioperasikan secara optimum.
Pada masa sama, sekatan ke atas Rusia oleh negara barat termasuk dalam hal pertahanan memerlukan Malaysia beralih kepada pihak ketiga bagi mendapatkan alat ganti Sukhoi.
Dengan India sebagai pengguna terbesar pesawat Sukhoi SU-30MKM di luar Rusia, negara itu juga mempunyai industri sokongan aeroangkasa yang mantap dan berteknologi moden.
Sebagai pengguna terbesar kedua pesawat Sukhoi SU-30 di Asia Tenggara pula, Malaysia berada pada kedudukan penting bagi Rusia supaya TUDM dapat terus menerbangkan Sukhoi.
Laporan media itu juga menyebut TUDM memantau dengan teliti program naik taraf pesawat Sukhoi SU-30MKI milik India.
Program ini termasuk penambahbaikan yang ketara seperti radar AESA baharu bagi meningkatkan keupayaan operasi pesawat.
Kerajaan India telah meluluskan pembelian 240 enjin AL-31FP untuk pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKI.
Firma Hindustan Aeronautics Ltd (HAL), pembekal yang dilesenkan untuk membina pesawat Sukhoi SU-30 India akan dianugerahkan kontrak AS$3.1 juta untuk menghantar enjin dalam tempoh lapan tahun bermula pada 2025.
HAL akan melaksanakan program menaik taraf pesawat Sukhoi SU-30MKI India itu yang dijangka menelan belanja AS$7.5 bilion.
Difahamkan, industri pertahanan India sebelum ini telah membekalkan beberapa komponen dan alat ganti Sukhoi SU-30MKM kepada TUDM termasuk tayar pesawat.
Justeru, persefahaman sedia ada ini dikatakan menjadi asas kepada cadangan pengembangan kerjasama ketenteraan.
Ini juga mengeratkan hubungan ketenteraan antara India-Malaysia.
Sepertimana diketahui, Malaysia dan India mempunyai kerjasama pertahanan melibatkan Sukhoi dalam Eksesais Udara Shakti, iaitu latihan tahunan bagi menguji kebolehan kedua-dua cabang udara.
Pada 2022, Malaysia dan India dikatakan berminat untuk menaik taraf pesawat Sukhoi masing-masing kepada varian SU-30SM2 sepertimana dimiliki Rusia.
Varian Sukhoi SU-30SM2 juga telah dipertontonkan Rusia semasa hadir pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi tahun lalu bersama tim aerobatik Russia Knights.
Berdasarkan sumber industri, Malaysia sebelum ini merancang supaya proses naik taraf pesawat Sukhoi SU-30MKM dilakukan syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) dengan kerjasama Rusia.
Keadaan bagaimana sebaliknya berikutan meletus konflik di Ukraine.
Sekiranya benar kerjasama pertahanan antara Malaysia-India melibatkan program menaik taraf pesawat Sukhoi, ini merupakan petanda positif dalam memastikan keupayaan udara negara.
Walaupun ada sesetengah pihak memandang rendah kebolehan India, sebaliknya dengan kemampuan membina lebih 260 buah pesawat Sukhoi SU-30MKI dalam negara, teknologi yang dimiliki India adalah hebat. - DagangNews.com