Malaysia Steel Works manfaatkan platform kelestarian Bursa Malaysia pacu peralihan hijau industri keluli | DagangNews Skip to main content

Malaysia Steel Works manfaatkan platform kelestarian Bursa Malaysia pacu peralihan hijau industri keluli

Datuk Muhamad Umar Swift (kiri) dan Datuk Seri Tai Hean Leng (kanan) merasmikan memorandum kerjasama.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Malaysia Steel Works Berhad (Masteel) menjadi pengeluar keluli pertama yang menggunakan platform risikan kelestarian berpusat (CSI) Bursa Malaysia Berhad bagi memacu peralihan hijau industri.

 

Bursa Malaysia berkata mereka telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) yang meningkatkan ketelusan dan kesalingoperasian data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam rantaian bekalan syarikat, di samping meningkatkan daya saing keseluruhannya.

 

Tambahnya, ini sejajar dengan fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memastikan pengilang industri dilengkapi dan bersedia untuk pelbagai piawaian dan rangka kerja ESG, apabila jangkaan global terhadap ESG meningkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata pendekatan proaktif Masteel untuk memacu usaha penyahkarbonan wajar dipuji dan penting untuk mempercepat dan memupuk peralihan yang lancar di seluruh industri.

 

“Sektor keluli Malaysia ialah industri kritikal dengan kepentingan ekonomi dan perdagangan, justeru kerjasama dengan Masteel sejajar dengan hasrat bursa saham itu memudahkan peralihan negara dan industri ke arah amalan lestari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Datuk Muhamad Umar Swift dan Datuk Seri Tai Hean Leng bersama wakil dari Alliance Bank, Bursa Malaysia dan Masteel
Datuk Muhamad Umar Swift dan Datuk Seri Tai Hean Leng bersama wakil dari Alliance Bank, Bursa Malaysia dan Masteel

 

 

Bursa Malaysia berkata penyertaan Masteel dalam program pengguna terawal (EAP) berfungsi untuk menggalakkan keseluruhan ekosistem industri keluli untuk meningkatkan pematuhan kepada piawaian ESG antarabangsa termasuk pelaporan Skop 1, 2 dan 3.

 

MoC ini merupakan kerjasama pertama Bursa Malaysia dalam industri keluli dan kerjasama EAP kelimanya untuk tahun ini.

 

Ini adalah susulan pemeteraian MoC dengan sektor minyak dan gas, automotif, hartanah dan pembuatan, serta pengangkutan dan logistik.

 

Platform CSI, yang dibangunkan oleh Bursa Malaysia dengan kerjasama London Stock Exchange Group, akan berfungsi sebagai repositori untuk pendedahan kelestarian oleh syarikat Malaysia yang tersenarai, bersama-sama dengan pendedahan oleh pembekal tempatan dan antarabangsa di seluruh rantaian bekalan mereka, katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Selain itu, ia akan membolehkan syarikat mengira dan menjejaki kesan pelepasan karbon mereka, di samping memudahkan usaha pembiayaan hijau dan penyahkarbonan. - DagangNews.com