Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 3 Jun - Malaysia menerima bayaran sebanyak RM336 juta (AS$80 juta) yang telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) oleh Deloitte PLT.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.386 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.
"Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.
"Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat. Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG," jelas MoF dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan yang sama, MoF turut memaklumkan bahawa kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.
Jelas kementerian itu, setakat 31 Mei tahun ini, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).
Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.
"Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan," jelas beliau.
Usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Tanggungjawab tersebut termasuk melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC, serta mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR). - DagangNews.com