KUALA LUMPUR 4 April - Malaysia hari ini menerima sumbangan berupa buah kurma dan al-Quran daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.
Sumbangan itu disampaikan oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabatnya di Putrajaya.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, sebanyak 57 tan kurma itu dibawa khas dari Riyadh untuk diagihkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Selain pengagihan kurma, baginda juga akan menyumbang lebih 46,000 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Melayu kepada masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.
“Saya menganggap hadiah terjemahan al-Quran ke dalam Bahasa Melayu ini tanda persahabatan Malaysia dan Arab Saudi yang sangat istimewa terutama dalam hasrat Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN.
“Terima kasih saya ucapkan kepada baginda Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta kerajaan Arab Saudi atas hadiah yang diberikan. Moga ikatan diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin sekian lama akan terus kukuh dan berterusan,” katanya. - DagangNews.com