Malaysian Genomics catat kerugian RM2.86 juta pada 3QFY23 kesan kenaikan perbelanjaan modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Genomics catat kerugian RM2.86 juta pada 3QFY23 kesan kenaikan perbelanjaan modal

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 MEI - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd telah mencatat kerugian bersih sebanyak RM2.86 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada keuntungan bersih RM1.96 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan juga telah menyusut kepada RM680,000 daripada RM5 juta disebabkan Malaysian Genomics meneruskan usaha ke arah biofarmaseutikal sambil menumpukan pada pertumbuhan organik perkhidmatan pemeriksaan genetik.

 

Menurut kumpulan itu, keuntungan merosot disebabkan peningkatan perbelanjaan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada, serta  persediaan untuk memulakan pembangunan produk termasuk perkhidmatan reka bentuk biologi dan protein baru yang akan membuka dua segmen pasaran baharu.

 

“Pada masa yang sama, kerja-kerja telah dimulakan untuk persediaan bagi memulakan kajian sel stem mesenchymal untuk rawatan osteoarthritis, luka bakar dan strok, antara aplikasi lain, dengan tujuan mendapatkan kelulusan kawal selia daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai produk berdaftar secara klinikal pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kumpulan itu berkata usaha tersebut memerlukan pelaburan tambahan dalam kepakaran saintifik, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan serta pemasaran.

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata masa, usaha dan sumber untuk membina perniagaan biofarmaseutikal adalah penting dalam pertumbuhan masa depan dan kemampanan kumpulan.

 

 

Azri Azerai
Azri Azerai

 

 

“Oleh itu, kami yakin usaha ini akan memberi petanda yang baik untuk masa depan kumpulan. Pada masa yang sama, kami akan terus mencari peluang mengembangkan perniagaan pemeriksaan genetik, di mana kumpulan mempunyai rekod prestasi yang panjang," tambahnya

 

Azri berkata mereka akan terus terlibat dengan rakan kongsi strategik di seluruh Asia Tenggara, rantau Afrika Utara Timur Tengah dan Amerika Syarikat untuk mengembangkan rangkaian pengedaran barangan pengguna berkembang pantas (FMCG) berkaitan dengan kosmetik, penyembuhan luka dan program kecergasan berasaskan genetik.

 

“Kami juga baru-baru ini bekerjasama dengan Toticell Limited of Bangladesh untuk meneroka pengedaran produk kosmetik, ujian saringan genetik dan produk sel ke pasaran dengan kira-kira 165 juta orang.

 

“Kami kekal komited untuk meningkatkan secara konsisten akses kepada ketepatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diperibadikan terkini,” jelasnya.

 

Pada pukul 2:40 petang hari ini, saham Malaysian Genomics telah menokok 0.5 sen atau 1% kepada 52 sen dengan modal pasaran RM67.7 juta. -DagangNews.com