Malaysian Genomics teroka peluang R&D produk dan perkhidmatan baharu di Thailand | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics teroka peluang R&D produk dan perkhidmatan baharu di Thailand

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) mengumumkan satu siri kerjasama untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya di Thailand serta meneroka peluang untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta perkhidmatan baharu.

 

Kumpulan menandatangani perjanjian bekalan dan kerjasama dengan Acquest Healthcare Stem Cell Research and Development Co. Ltd. (Acquest) untuk menghasilkan sel-T CAR untuk dibekalkan kepada pelanggan Acquest. 

 

Acquest adalah pembekal pelbagai sel terapi yang terkenal ke hospital, doktor pakar, dan pesakit di Thailand. Ia mengendalikan makmal klinikal canggih dan juga kemudahan pembudayaan sel manusia khusus milik swasta terbesar di negara ini.

 

Kumpulan juga menandatangani perjanjian bekalan dan kerjasama dengan Salus Holdings Co. Ltd. (Salus) untuk membekalkan produk dan perkhidmatan biofarmaseutikal dan genomik kepada pelanggan Salus. 

 

Salus adalah pakar dalam pemeriksaan kesejahteraan dan kesihatan menggunakan sains dan teknologi untuk pengesanan penyakit awal dan menguruskan program intervensi gaya hidup yang berpusat di Bangkok, Thailand.

 

Selain itu, kumpulan menandatangani surat niat dengan Marine Group Co. Ltd. (Kumpulan Marin) dan Salus mengenai penyelidikan kerjasama dalam penggunaan ujian pemeriksaan genetik dan produk kosmetik yang dirumuskan yang mengandungi bahan terapi sel tertentu pada pertumbuhan semula kulit dan rambut pesakit. 

 

Marine Group adalah pakar estetik dan kesihatan dengan lebih 42 rangkaian pusat di bawah jenama Slim Up™, Doktor™ Kulit, dan Biocell™.

 

 

mgrc
(Dari kiri) Songsuda Panich, Sasha Nordin dan Choy Hong Yang ketika majlis menandatangani perjanjian bekalan dan kerjasama antara Malaysian Genomics, Acquest, Kumpulan Marin dan Salus.

 

 

Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Bangkok, Mohamed Hafiz Md Shariff.


 
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, pihaknya tidak sabar untuk menjalin hubungan baik dengan rakan kongsi Thailand, Salus dan Acquest. 

 

"Kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mengembangkan asas pelanggan kami dan meningkatkan kehadiran kami di luar negara melalui bekerja dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai kehadiran yang mantap dalam segmen pasaran masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Acquest, Dr Roland Neff menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah pertama kerana kedua-dua pihak meneroka kemungkinan menjalankan R&D bersama yang boleh menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu yang boleh dikomersialkan. 

 

Pengarah Salus, Choy Hong Yang pula berkata, mereka menggunakan sains dan teknologi untuk menyediakan perkhidmatan pengesanan penyakit, pencegahan dan peningkatan jangka hayat. 

 

Pengasas Marine Group, Songsuda Panich berkata, mereka berharap dapat bekerjasama dengan Malaysian Genomics dan dengan Salus Healthcare mengenai penyelidikan dan pembangunan yang melibatkan produk penjanaan semula sel. - DagangNews.com