MAN Malaysia anjur penyerahan trak terbesar kepada 14 syarikat logistik di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

MAN Malaysia anjur penyerahan trak terbesar kepada 14 syarikat logistik di seluruh negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd menyerahkan trak yang menjadi peneraju pasarannya, Trak MAN baharu dengan enjin Euro V, kepada 14 syarikat logistik dari seluruh negara merangkumi pelbagai segmen ekonomi dalam acara penyerahan terbesar pernah diadakan setakat ini.

 

10 daripada syarikat tersebut merupakan pelanggan MAN kali pertama dan ia mencerminkan keyakinan yang kian meningkat dalam kalangan ahli industri logistik terhadap penyelesaian yang dibawakan  jenama dari Jerman itu menerusi trak emisi rendah keluarannya.

 

Naib Presiden Kanan dan Ketua bagi Kawasan Jualan Antarabangsa bagi MAN Truck & Bus SE, Roman Sitte memuji pelanggan Malaysia kerana berpandangan jauh dan kesanggupan mereka untuk menerima pakai teknologi dan menyertai usaha ke arah kemampanan.

 

"Bagaimanapun, sepanjang lebih kurang setahun yang lalu, jenama kami mengalami pertumbuhan yang begitu ketara yang dipacu oleh produk hebat yang dapat membantu perniagaan mencapai matlamat kemampanan dan keberuntungan. 

 

"Kini Malaysia adalah pasaran tumpuan bagi MAN SE dan kami komited untuk membangun bersama anda," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Sitte, pihaknya yakin bahawa elektrik merupakan pemacu masa depan trak dan MAN eTruck yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya akan mula berada di jalan raya di Eropah dengan penyerahan trak kepada pelanggan dijadualkan dalam separuh tahun pertama 2024.

 

Bagaimanapun katanya, Sitte tidak akan tergesa-gesa untuk membawanya ke Malaysia sehinggalah infrastruktur yang diperlukan serta persekitaran sesuai dan insentif oleh kerajaan telah tersedia.

 

 

MAN

 

 

"Kami mesti memastikan bahawa kami mempunyai produk sesuai pada masa yang sepatutnya serta mengatur masa di pasaran supaya bertepatan dengan kitaran inovasi. 

 

"Sementara itu, enjin diesel, terutamanya varian emisi rendah dengan spesifikasi Euro V ke atas, masih mempunyai kitaran hayat yang panjang. 

 

 

MAN

 

 

"Industri pengangkutan kini berada di peringkat peralihan, oleh itu kami akan terus menawarkan produk-produk dengan teknologi termaju yang memberikan fungsi terbaik atau memenuhi keperluan sebenar pelanggan kami," katanya.

 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks pula berkata, syarikat tersebut sedang membangun, berkembang dan melangkah ke hadapan dengan matlamat jelas untuk menyediakan khidmat lebih baik kepada jumlah pelanggannya yang semakin meningkat.

 

 

MAN

 

 

"Ibu pejabat baharu kami di Shah Alam, yang akan dibuka secara rasminya pada Julai, kini semakin pesat. Kami baru sahaja mengeluarkan Trak MAN yang pertama dari barisan pemasangan CKD yang baharu. 

 

"Pusat kemudahan bersepadu ini turut menempatkan pusat servis baharu yang dapat melaksanakan servis dengan cekap bagi trak dan bas pelanggan. Kami sedang membangunkan pasukan dan juga menempatkan rakan sekerja dari kluster yang mengendalikan beberapa pasaran lain di rantau ini," katanya. - DagangNews.com