Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Dis - Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) mengekalkan pandangan stabil terhadap sektor perbankan di sebalik cabaran akibat pandemik COVID-19.
Menurutnya, sektor tersebut dijangka terus mempamerkan momentum dengan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi pada tahun hadapan ekoran pembukaan semula semua sektor ekonomi dan kelonggaran sekatan pergerakan secara berperingkat-peringkat.
Bagaimanapun, katanya, sebarang perubahan kepada kadar pemulihan yang disebabkan kesan daripada pandemik boleh menjejaskan semula pertumbuhan.
"Dengan pemulihan pertumbuhan yang dijangka kukuh pada suku keempat ini, kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman sekitar 3 hingga 3.5% bagi tahun ini.
"Pada 2022, kami mengunjurkan industri perbankan akan merekodkan pertumbuhan pinjaman lebih tinggi antara 4 hingga 5%, disokong peningkatakan dalam aktiviti ekonomi," katanya dalam laporan prospek sektor perbankan baru-baru ini.
Agensi penarafan itu mendapati pertumbuhan pinjaman pada 2020 dan 2021 terjejas dengan penutupan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, pertumbuhan pinjaman sebahagian besarnya kekal tidak berubah pada 3.3% tahun ke tahun berbanding 3.4% pada 2020.
Pertumbuhan pinjaman perniagaan pula meningkat 2.9% dalam tempoh tersebut berbanding 1% pada 2020. Sektor pembuatan dan perdagangan borong mendapat manfaat daripada kelonggaran sekatan pergerakan manakala sektor pembinaan dan hartanah masih kekal lembap.
Bagi pertumbuhan pinjaman isi rumah pula, ia lebih rendah pada 2.5% dalam tempoh itu berbanding 5% pada tahun sebelumnya.
Ini disebabkan sebahagian besarnya pertumbuhan yang perlahan dalam pembiayaan kediaman, merekodkan pertumbuhan 4.6% dalam tempoh 10 bulan tahun ini berbanding 7.1% pada 2020. Pinjaman kediaman membentuk jumlah yang besar dalam portfolio isi rumah iaitu 61%.
Namun, menurut MARC, meskipun berdepan cabaran disebabkan tercetusnya wabak COVID-19, tetapi industri perbankan domestik terlindung daripada tekanan kewangan yang teruk apabila memasuki fasa pandemik itu dengan kedudukan yang kukuh.
"Pinjaman terjejas dan tunggakan keseluruhan tidak meningkat, disokong oleh moratorium pinjaman dan langkah-langkah pelepasan.
"Keuntungan mula meningkat selepas beberapa siri peruntukan awal yang besar dan kerugian pengubahsuaian yang dialami pada tahun sebelumnya telah menjejaskan keuntungan bank, terutama pada 2020," jelasnya.
Agensi itu berkata, rosot nilai akan meningkat apabila moratorium dan bantuan sokongan berakhir.
Jelasnya, peruntukan awal yang dibuat sejak 2020 dengan menjangkakan kemerosotan dalam kualiti aset akan mengurangkan kesan keseluruhan ke atas kunci kira-kira bank, seperti yang dicerminkan oleh perlindungan kerugian pinjaman sebanyak 124% pada akhir Oktober 2021.
"Sistem perbankan Common Equity Tier 1 (CET1) dan jumlah nisbah modal masing-masing sebanyak 14.3% dan 18% juga menyediakan penampan mencukupi untuk berdepan risiko tidak dijangka," katanya.
MARC menjangkakan kemungkinan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2022 akan meningkatkan keuntungan bank.
"Walaupun prestasi pendapatan dijangka bertambah baik tetapi pengumuman Cukai Makmur akan menjejaskan pendapatan bank," tambahnya.
Di bawah Cukai Makmur, syarikat yang merekodkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar lebih tinggi sebanyak 33% berbanding 24% buat masa ini.
Dalam pada itu, agensi itu positif terhadap perkembangan perbankan digital di negara ini setelah pertumbuhan lebih pantas berlaku terhadap teknologi kewangan (fintech) dan perkhidmatan perbankan digital disebabkan pandemik COVID-19.
Katanya, kadar penerimaan ini dijangka semakin meningkat apabila Bank Negara Malaysia mengeluarkan 5 lesen perbankan digital pada suku pertama 2022.
"Apabila fintech semakin berkembang pantas dan menjadi sebahagian daripada sektor perkhidmatan kewangan, kami menjangkakan bank akan terus melaksanakan transformasi digital dan inovasi produk bagi mengukuhkan pertumbuhan perniagaan jangka panjang," jelasnya. - DagangNews.com