MARC Ratings sahkan penarafan AAA kepada Malaysia berdasarkan skala kedaulatan negara | DagangNews Skip to main content

MARC Ratings sahkan penarafan AAA kepada Malaysia berdasarkan skala kedaulatan negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - MARC Ratings mengesahkan penarafan AAA/stabil kepada Malaysia berdasarkan kepada skala penarafan kedaulatan negara.

 

Firma itu berkata, menerusi skala penarafannya, kedaulatan Malaysia mempunyai risiko relatif terendah merangkumi kuasa untuk mengenakan cukai dan menetapkan kadar faedah.

 

Penarafan itu katanya, mencerminkan kekuatan kredit sesebuah negara termasuk kepelbagaian ekonomi yang berdaya saing yang membantu mengekalkan pertumbuhan stabil. 

 

"Bagi 2022, kami menjangkakan pembangunan GDP (nilai pembangunan kasar) melonjak kepada 5.7%.

 

"Sementara itu, kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) edisi 2021 meningkat kepada kedudukan ke-25 berbanding 27 sebelum ini.

 

"Kedudukan itu mencerminkan daya tahan perdagangannya dan terdapat lebihan dalam akaun semasa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Firma itu berkata, Malaysia berada di kedudukan luar yang positif selain memiliki rizab asing yang mencukupi.

 

"Bersama dengan dasar monetari bank pusat, ia telah membantu mengekalkan limpahan daripada pasaran kewangan luar yang tidak stabil," katanya.

 

MARC berkata, cabaran utama kredit termasuk kesan ekonomi daripada COVID-19 yang meningkatkan risiko kewangan makro menjadi lebih tinggi.

 

Katanya, kerajaan sedang komited kepada usaha penyatuan fiskal namun usaha itu dilihat semakin kehilangan momentum.

 

"Kami berpendapat rancangan penyatuan boleh ditangguhkan dalam tempoh terdekat hingga sederhana untuk mengelak menjejaskan pemulihan ekonomi.

 

"Negara telah mula menganggap COVID-19 sebagai penyakit endemik dan kami berpendapat dasar untuk menyokong pertumbuhan yang stabil harus didahulukan, bukannya penyatuan fiskal, terutamanya selepas mengambil kira kerosakan ekonomi.

 

"Kami berpendapat, metrik fiskal dan hutang negara tidak akan bertambah baik dalam masa terdekat kerana momentum usaha penyatauan fiskal dilihat masih lemah," katanya. - DagangNews.com