Margin bahan api Malakoff dijangka kembali positif dalam 4QFY23 didorong kestabilan harga arang batu – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Margin bahan api Malakoff dijangka kembali positif dalam 4QFY23 didorong kestabilan harga arang batu – AmInvestment

Loji Tanjung Bin Power
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Margin bahan api Malakoff Corporation Berhad dijangka kembali positif dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berikutan kestabilan harga arang batu, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Oleh itu, firma penyelidikan itu menaikkan taraf saranan saranan saham Malakoff kepada ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada 75 sen sesaham berbanding 65 sen sebelumnya.

 

“Selain itu, kami percaya bahawa keuntungan bersih Makaloff pada FY24 akan kembali normal kepada RM200 juta hingga RM300 juta apabila margin bahan api bertambah baik berikutan harga arang batu yang stabil,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini selepas melawat loji Tanjung Bin Power (TBP) di Johor minggu lepas.

 

Firma itu berkata ia percaya bahawa keuntungan bersih Malakoff akan pulih pada 4QFY23 selepas kerugian bersih RM394.4 juta pada 1HFY23, di mana margin bahan api dijangka bertukar positif pada 4QFY23 apabila Malakoff menurunkan sepenuhnya inventori arang batu berkos tingginya menjelang 3QFY23.

 

AmInvestment menganggap bahawa margin bahan api masih negatif pada 3QFY23 walaupun pada magnitud yang lebih kecil berbanding RM450 juta pada 2QFY23.

 

Menurut firma itu, margin bahan api negatif menjejas loji TBP kerana ia menggunakan sejumlah besar arang batu bitumen (70%) dan kejatuhan harga arang batu bitumen adalah lebih tajam daripada arang batu sub-bitumen pada 1HFY23.

 

Mengulas mengenai rancangan kumpulan, firma itu berkata Malakoff merancang untuk memulakan pembakaran bersama loji TBP dengan biojisim pada FY24.

 

“Projek perintis tersebut akan melibatkan penggunaan biojisim bahan mentah sebanyak 3% hingga 5% bagi setiap unit penjanaan dan seterusnya akan meningkatkan campuran kepada 15% kapasiti menjelang FY27. Malakoff kini sedang berbincang dengan TNB Fuels mengenai mekanisme lulus kos untuk biojisim,” katanya.

 

Melangkah ke hadapan, firma itu berkata Malakoff merancang untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui.

 

“Kumpulan itu mempunyai simpanan tanah dan tapak yang besar untuk loji tenaga solar dan pembangunan semula loji kuasa. Terdapat potensi sehingga 124MW loji tenaga solar. Pada masa ini, Malakoff mempunyai portfolio projek solar 40MW,” tambahnya.

 

Pada pukul 11:16 pagi ini, saham Malakoff menokok 0.5 sen atau 0.8% kepada 61.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM3 bilion. - DagangNews.com