Masa depan FGV masih membimbangkan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Masa depan FGV masih membimbangkan - Penganalisis

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Walaupun FGV Holdings Bhd. merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik pada suku ketiga berakhir 30 September 2020, tetapi penganalisis masih melihat beberapa ketidaktentuan yang akan menjejaskan masa depan syarikat perladangan itu. 

 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sekiranya Felda berhasrat untuk membeli kesemua 68 kilang sawit miliknya, ia akan menyebabkan kedudukan FGV kritikal dari segi keupayaan memproses tandan buah segar (TBS) dan juga perancangan kumpulan untuk melangkah lebih jauh dalam industri hiliran.

 

Ini kerana tanpa tanah di bawah perjanjian pajakan tanah (LLA) yang hanya menyumbang 30% TBS, syarikat masih perlu memproses 70% TBS yang dihasilkan dari peneroka dan pihak ketiga. 

 

Menurut MIDF Research, pengambilalihan kilang sawit oleh Felda itu kemungkinan akan membahayakan prospek perniagaan FGV walaupun senario seperti itu masih terlalu awal untuk dinilai. 

 

"Malah, kami juga menyedari, masih awal untuk menilai impak penamatan LLA itu kerana ia bergantung kepada fasa rundingan yang akan berjalan. 

 

"Tetapi, kami berpendapat, langkah kerajaan menyokong LLA ditamatkan akan menjejaskan kedudukan FGV sebagai salah satu syarikat perladangan terbesar," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tetap berhati-hati terhadap ketidaktentuan yang menyelubungi operasi dan perniagaan kumpulan pada masa hadapan. 

 

Bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan FGV akan merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik pada suku keempat tahun ini berdasarkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi dan kerugian segmen gula yang rendah. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2020, purata harga MSM adalah sebanyak RM2,645 per tan metrik (MT), lebih tinggi daripada harga purata MSM yang direalisasikan pada suku ketiga 2019 sebanyak RM1,983 per MT. 

 

Pendapatan FGV untuk tempoh tersebut juga meningkat dengan ketara kepada RM3.99 bilion, berbanding RM3.55 bilion pada suku ketiga 2019.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, FGV dijangka merekodkan keuntungan teras yang rendah pada suku keempat disebabkan kurangnya pengeluaran TBS, kos baja yang tinggi dan bayaran pajakan. 

 

Firma itu meningkatkan keuntungan bersih FGV bagi tahun kewangan 2020 dan 2022 yang mencerminkan anggaran harga MSM yang lebih tinggi, sumbangan sektor gula yang tinggi dan anggaran pengeluaran TBS yang rendah. 

 

"Meskipun kami positif terhadap pendapatan FGV yang semakin pulih, tetapi kami juga bimbang terhadap perancangan Felda untuk menamatkan LLA dan membeli semula kilang-kilang sawit FGV. 

 

"Cadangan ini akan membantutkan prospek pendapatan FGV pada masa akan datang," katanya. 

 

FGV semalam mengesahkan tidak menerima sebarang notis daripada Felda berhubung penamatan LLA dan ia masih kekal sebagai status quo.

 

Felda yang memiliki 33.66% pegangan dalam FGV sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk mengambil semula tanah LLA seluas 350,733 hektar beserta 68 kilang sawit milik syarikat perladangan itu. - DagangNews.com