Masimo Malaysia labur RM100 juta bina kilang pengeluaran peranti perubatan pertama di Johor | DagangNews Skip to main content

Masimo Malaysia labur RM100 juta bina kilang pengeluaran peranti perubatan pertama di Johor

Jayakumar Krishnan (kiri) merasmikan pembukaan kilang pengeluaran peranti perubatan pertama Masimo Malaysia di Pasir Gudang, Johor.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac - Masimo Medical Technologies Malaysia Sdn Bhd (Masimo Malaysia), syarikat peranti perubatan dan teknologi, melabur RM100 juta untuk membina kilang pengeluaran peranti perubatan pertama di Pasir Gudang, Johor.

 

Pengurus kilang, Jayakumar Krishnan berkata kilang itu mempunyai kapasiti maksimum 100 juta peranti setahun untuk pasaran domestik dan eksport.

 

"Kemudahan termaju kami merupakan pelaburan besar dalam masa depan penjagaan kesihatan dan kami teruja untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia dan infrastruktur teguh untuk memacu inovasi dan pertumbuhan di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang tersebut hari ini.

 

Masimo Malaysia, yang merupakan pengeluar tunggal di negara ini, menghasilkan Pulse Oximetry Adhesive Sensor dan Pulse Oximeter, iaitu alat ujian yang mengukur kadar nadi dan tahap oksigen (oksigen tepu) dalam darah. 

 

Pulse Oximetry Adhesive Sensor adalah penderia pakai buang direka untuk digunakan dengan sistem Masimo, terutamanya SET (Teknologi Pengekstrakan Isyarat) yang membolehkan pemantauan ketepuan oksigen arteri dan kadar nadi yang tepat, walaupun semasa pergerakan. 

 

Sementara itu, Pulse Oximeter direka sebagai peranti pemantauan oksimeter nadi berterusan yang mudah alih, kecil dan berkuasa bateri.

 

Terletak secara strategik berhampiran pelabuhan laut utama dan lapangan terbang antarabangsa, kemudahan seluas 133,000 kaki persegi itu menawarkan kawasan pengeluaran termaju dan ruang gudang yang direka untuk memudahkan pembangunan dan pengedaran penyelesaian perubatan yang inovatif. 

 

Dengan keluasan binaan 133,000 kaki persegi, termasuk kawasan pengeluaran seluas 81,220 kaki persegi dan kawasan gudang seluas 46,631 kaki persegi, syarikat itu bersedia untuk meningkatkan keupayaan pembuatannya dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk peranti perubatan berkualiti tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pembukaan kilang Masimo Malaysia membuktikan pengaruh negara yang semakin meningkat dalam landskap teknologi perubatan global. 

 

“Ia menekankan keyakinan dalam persekitaran mesra perniagaan Malaysia dan keteguhan rantaian bekalan peranti perubatan, mengesahkan status negara sebagai destinasi pilihan untuk pembuatan produk bernilai tinggi dan pelaburan didorong inovasi. 

 

“Projek yang sepenuhnya berorientasikan eksport ini akan disokong oleh tenaga kerja teknikal Malaysia dengan lebih 27% daripada jumlah tenaga manusia terdiri daripada kategori pengurusan, teknikal dan penyeliaan,” tambahnya.

 

Pada 2023, industri peranti perubatan menyaksikan kelulusan 26 projek, menarik pelaburan berjumlah RM2.1 bilion. Antaranya, sembilan projek baharu menyumbang RM773.9 juta (36.3%) daripada pelaburan, manakala baki 17 lagi adalah projek pembesaran atau kepelbagaian, menyumbang RM1.4 bilion (63.7%). - DagangNews.com