Matawang kripto bersifat desentralisasi, susah untuk tetapkan kawalan — Jabatan Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Matawang kripto bersifat desentralisasi, susah untuk tetapkan kawalan — Jabatan Perdana Menteri

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Mata wang kripto seperti Bitcoin disifatkan sebagai desentralisasi dan sukar untuk menetapkan  satu bentuk kawalan sekuriti, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith. 

 

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai satu tempat untuk pemusatan kawalan bagi mata wang kripto kerana ia adalah terbuka. 

 

“Berkenaan  mata wang  kripto, Bitcoin dan sebagainya ini amat susah untuk  kita menetapkan satu bentuk kawalan memandangkan sifatnya adalah desentralisasi dan kita tidak mempunyai satu tempat untuk pemusatan kawalan bagi mata wang kripto sebab ia adalah terbuka dan dalam dunia ini ada banyak.

 

Ini (mata wang kripto) satu bentuk pelaburan yang baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung pendirian kerajaan berkenaan keperluan kawalan sekuriti mata wang kripto agar masyarakat tidak terjebak dengan penipuan yang akhirnya bukan sahaja tidak meningkatkan pemilikan ekuiti masyarakat tetapi merugikan wang mereka.

 

Eddin Syazlee berkata, bagaimanapun kerajaan  mempunyai platform  yang mengawal secara khusus dagangan berkaitan mata wang kripto melalui Suruhanjaya Sekuriti yang telah pun mengiktiraf, mengklasifikasikan mata wang kripto sebagai satu daripada bentuk sekuriti yang antara lain untuk memberi bimbingan kepada pelabur-pelabur supaya lebih memahami risiko dan bentuk pelaburan berkaitan kripto.


 

Datuk Eddin Syazlee Shith
                           Datuk Eddin Syazlee Shith

 


“Untuk membuat sesuatu undang-undang  khusus, itu amat sukar disebabkan oleh kawalan khusus ini tidak dapat dibuat memandangkan sifat kripto ini sebagai
desentralisasi,” katanya. - DagangNews.com