Mavcom beri kerjasama penuh dalam siasatan Kementerian Pengangkutan berhubung isu perlesenan MYAirline | DagangNews Skip to main content

Mavcom beri kerjasama penuh dalam siasatan Kementerian Pengangkutan berhubung isu perlesenan MYAirline

KUALA LUMPUR 24 Okt - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan bekerjasama dalam siasatan Kementerian Pengangkutan terhadap isu perlesenan MYAirline Sdn. Bhd.

 

Ia adalah sebagai respon suruhanjaya itu terhadap pertanyaan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tentang bagaimana syarikat yang memiliki masalah kewangan itu boleh diberikan lesen untuk mengendalikan syarikat penerbangan. 

 

Baru-baru ini, Mavcom mendapat kecaman ramai dengan ramai pihak mempertikaikan sama ada mereka telah melakukan usaha wajar dalam memberikan MYAirline lesen perkhidmatan udara (ASL) pada 2022.

 

"Mavcom akan bekerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan yang dikenalikan Kementerian Pengangkutan berhubung pemberian ASL kepada MYAirline," kata Mavcom kepada Business Times dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Semalam, Anthony Loke berkata, kementerian sedang menyiasat bagaimana MYAirline memperoleh ASL pada 2022 dan menyatakan bahawa Mavcom perlu bertanggungjawab kerana lesen itu telah diberikan oleh pengawal selia penerbangan.

 

menteri
Anthony Loke

 

"Sama ada atau tidak mereka telah melalui proses serta prosedur yang betul, itu adalah sesuatu memerlukan siasatan lanjut.

 

"Ini sudah pasti sesuatu yang Mavcom perlu bertanggungjawab. Mereka perlu bertanggungjawab dari segi proses pemberian lesen (ASL)," katanya.

 

Sebuah syarikat perlu terlebih dahulu memohon ASL daripada Mavcom sebelum memohon sijil pengendali udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memulakan beroperasi sebagai pengendali perkhidmatan udara di Malaysia.

 

Mavcom ditugaskan menyemak dan menganalisis pelan kewangan dan komersial pengendali perkhidmatan udara manakala CAAM bertanggungjawab ke atas aspek teknikal pengendali.

 

Bagi mendapatkan ASL, pemilik, pemegang saham dan lembaga pengarah pengendali perkhidmatan udara perlu melalui garis panduan "Orang Layak dan Sewajar" bagi melihat sama ada orang yang bertanggungjawab itu layak untuk melabur dalam syarikat penerbangan di Malaysia.

 

Garis panduan itu dikeluarkan oleh Mavcom berdasarkan seksyen 98A(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dengan suruhanjaya itu menjalankan penilaian ke atas orang yang bertanggungjawab utama sesebuah syarikat penerbangan atau syarikat perkhidmatan penerbangan.

 

Orang bertanggungjawab yang disenaraikan ialah lembaga pengarah, pasukan pengurusan kanan, mana-mana orang lain yang secara langsung atau tidak langsung memegang 10% lebih banyak bahagian syarikat.

 

Ia juga termasuk orang yang mempunyai kuasa membuat keputusan perniagaan atau pentadbiran dan mana-mana orang penting lain yang mungkin ditentukan oleh Mavcom.

 

Dalam garis panduan itu, Mavcom akan "menilai kesesuaian dan kewajaran seseorang dalam bidang berikut – kejujuran, reputasi dan integriti; kecekapan dan keupayaan; dan integriti kewangan."

 

"Suruhanjaya itu juga akan melihat beberapa perkara sebelum ini sebagai gambaran tentang tingkah laku masa depan seseorang," katanya.

 

Pemegang saham dan pemilik majoriti MYAirline, Datuk Goh Hwan Hua berada dalam radar pihak berkuasa sejak dua tahun lalu atas dakwaan aktiviti meragukan termasuk dakwaan penipuan dan pengubahan wang haram. - DagangNews.com