Maxim perluas operasi ke Port Dickson berikutan permintaan tinggi pengguna | DagangNews Skip to main content

Maxim perluas operasi ke Port Dickson berikutan permintaan tinggi pengguna

KUALA LUMPUR 3 Jan - Penyedia perkhidmatan e-hailing, Maxim mengembangkan operasinya ke Port Dickson, sebuah lagi bandar di Negeri Sembilan, sekali gus membolehkannya membantu pembangunan ekonomi bandar itu.

 

Ketua Bahagian Maxim, Muhammad Haziq berkata, pembukaan bandar baharu di Negeri Sembilan dibuat berikutan permintaan tinggi daripada pengguna. 

 

"Sebelum penghujung 2023, syarikat bersetuju untuk mengembangkan operasi kami ke Port Dickson. Peluasan ini mewujudkan lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk menyertai sebagai rakan kongsi pemandu kami," katanya.

 

Selain perkhidmatan e-hailing, Maxim juga menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk pakej, dokumen dan makanan, kargo, serta pembelian dan penghantaran dari 'mart'.

 

Maxim dilancarkan di Malaysia pada 2018 dengan menjalankan operasi di 70 buah bandar, lapor New Straits Times.

 

Sejak 2018, syarikat itu membangunkan teknologi inovatif untuk memesan pengangkutan untuk penghantaran dan perkhidmatan lain, menjadikannya lebih moden, mudah diakses dan selamat. - DagangNews.com