Maxis bersedia melengkapkan proses SSA, menandatangani perjanjian pemegang saham DNB | DagangNews Skip to main content

Maxis bersedia melengkapkan proses SSA, menandatangani perjanjian pemegang saham DNB

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Jun - Maxis akhirnya menyatakan kesediaan untuk melengkapkan proses perjanjian langganan saham (SSA) Digital Nasional Berhad (DNB) mengikut terma SSA dan menandatangani Perjanjian Pemegang Saham (SHA) dengan DNB.

 

Ini meletakkan Maxis di landasan yang kukuh untuk menyiapkan awal proses SSAnya dan mengambil bahagian dalam pelancaran rangkaian 5G kedua, jauh lebih awal daripada garis masa yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pada 2 Jun 2024.

 

 

dnb

 

 

"Maxis sepenuh hati menyokong dan komited sepenuhnya terhadap pelaksanaan pantas model rangkaian dwi 5G Kerajaan," kata syarikat telekomunikasi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

"Maxis berharap dapat memainkan peranan utama dalam memajukan agenda digital Malaysia sebagai peserta aktif dan utama dalam fasa pelancaran 5G negara yang akan datang.

 

"Ini termasuk mempromosikan penggunaan dan inovasi 5G dan 5G-Advanced (5.5G) dalam kalangan pengguna, perniagaan dan sektor kerajaan," kata kenyataan itu.

 

 

Maxis, Goh Seow Eng
                      Goh Seow Eng

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata , pihaknya mahu melihat penyelesaian awal kepada proses SSA kerana ia akan memberikan kepastian yang lebih besar kepada pelancaran rangkaian dwi 5G negara.

 

"Melengkapkan proses SSA ialah langkah pragmatik dan perlu untuk memulakan peralihan kepada rangkaian dwi 5G.

 

"Maxis bersedia sepenuhnya untuk mula membina rangkaian 5G kedua dengan segera untuk mempercepatkan rancangan 5G negara dan membawa manfaat ekonominya kepada rakyat Malaysia pada kadar yang lebih pantas,” ujar beliau. - DagangNews.com