Maxis pertimbang beli U Mobile bagi bantu perkembangan di negara Asia - Bloomberg | DagangNews Skip to main content

Maxis pertimbang beli U Mobile bagi bantu perkembangan di negara Asia - Bloomberg

KUALA LUMPUR 16 Julai - Maxis Bhd, syarikat telekomunikasi yang dikawal jutawan, T Ananda Krishnan sedang mempertimbangkan untuk membeli U Mobile Sdn Bhd bagi membantunya berkembang di negara Asia, menurut sumber terdekat yang mengetahui perkara itu.

 

Maxis menyatakan minat terhadap U Mobile dan perbincangan mengenainya berada di peringkat awal, kata sumber yang enggan dikenali.

 

Ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd yang disokong Temasek Holdings Pte Ltd merupakan antara pemegang saham utama U Mobile.

 

 

Harga boleh menjadi penghalang kepada potensi pembelian itu, dengan pemilik U Mobile mencari penilaian lebih RM10 bilion, menurut sumber itu. Tidak ada jaminan perjanjian akan dicapai, katanya.

 

Dalam mesej kepada Bloomberg News pada Isnin, Vincent berkata, U Mobile menolak tawaran pembelian dan merancang untuk memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) pada akhir Julai 2024. U Mobile telah mempertimbangkan IPO sejak 2021.

 

“Kami menolak tawaran Maxis. Kami akan memfailkan IPO pada akhir bulan ini,” kata Vincent sebagai jawapan kepada pertanyaan Bloomberg. 

 

Sementara itu, wakil daripada U Mobile berkata, syarikat itu tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai spekulasi pasaran itu.

 

“Kami sangat fokus dalam menyampaikan lebih banyak produk serta perkhidmatan 5G inovatif kepada pelanggan kami dan membuat persediaan untuk Pakej Maklumat Pemohon yang dikeluarkan kerajaan Malaysia bagi menyertai tender membina rangkaian 5G kedua negara," katanya.

 

Sementara itu, wakil Maxis dan ST Telemdia juga enggan memberikan sebarang ulasan.

 

Ditubuhkan pada 2006, U Mobile ialah syarikat telekomunikasi termuda di Malaysia. 

 

Ia mempunyai lebih daripada 4,000 tapak web 4G dan rangkaian sedia untuk 5G, kata laman web syarikat itu. 

 

Syarikat itu juga menawarkan perkhidmatan termasuk teknologi kewangan (fintech) dan pembayaran digital. Bulan lalu, ia menandatangani perjanjian untuk pegangan ekuiti yang tidak didedahkan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) milik kerajaan, yang sedang membina infrastruktur 5G di negara ini.

 

Saham Maxis telah jatuh 9.4% tahun ini, memberikan nilai pasaran RM27.3 bilion. Syarikat itu mempunyai lebih 13 juta pelanggan dan rangkaian gentian lebih daripada 22,000km, menurut laporan tahunannya. - DagangNews.com