KUALA LUMPUR 14 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama pertama berkembang sebanyak 4.2% mengatasi jangkaan awal 3.9% berdasarkan petunjuk keluaran dan aktiviti ekonomi utama.
Ketua Ekonomi Maybank, Suhaimi Ilias berkata, anggaran pertumbuhan KDNK sebenar bagi suku pertama adalah berdasarkan anggaran sebenar untuk sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan pembinaan.
Beliau berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) mencatatkan pertumbuhan pantas sebanyak 3.3% berdasarkan penambahbaikan dalam sektor pembuatan (2.1%), perlombongan (5.9%) dan elektrik (8.9%).
"Sektor pembuatan kembali melonjak dalam industri berorientasikan eksport dengan peningkatan sebanyak 0.6% seperti computer, elektrik & produk optik (0.9%), kok dan produk petroleum ditapis meningkat 3.9% manakala jentera dan peralatan juga naik 2.8%.
"Produk getah naik sebanyak 5.7% manakala produk plastik juga naik sebanyak 3.9% serta pertumbuhan mampan dalam industri domestik (5.1%) didorong produk fabrikasi logam dan peralatan (10.5%) produk bukan logan dan mineral (6.4%) serta produk pemprosesan makanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Suhaimi berkata, pengeluaran perlombongan juga mencatatkan peningkatan berikutan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi pada suku pertama tahun ini sebanyak 9.1% dan pertumbuhan mampan alam minyak mentah dan kondensat sebanyak 1.4%.
Katanya, suku itu juga menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh dalam Indeks Perkhidmatan dengan mencatatkan peningkatan 4.5% dan keluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 3.4% serta lonjakan dalam nilai kerja pembinaan sebanyak 14.2%. - DagangNews.com