Maybank IB jangka pendapatan Vitrox pada 2QFY23 meningkat didorong pemulihan permintaan segmen MVS | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka pendapatan Vitrox pada 2QFY23 meningkat didorong pemulihan permintaan segmen MVS

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pendapatan Vitrox Corporation Berhad pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) mencecah antara RM130 dan RM145 juta, tinggi sedikit daripada prestasi 1QFY23.

 

Firma penyelidikan itu meninjau prospek Vitrox menjelang keluaran keputusan kewangan 2QFY23 Khamis depan (27 Jul) berikutan kenaikan harga baru-baru ini disebabkan sentimen sektor teknologi domestik yang positif.

 

Tambahnya, persekitaran operasi tetap mencabar dan ia hanya meramalkan pemulihan dari separuh kedua 2023 (2H23) dan seterusnya.

 

Menurut firma itu, segmen Machine Vision System (MVS) menyaksikan peningkatan permintaan bagi MVS-T dan MVS-S yang dijangka menyumbang sebanyak RM35 hingga 37 juta, kira-kira 20% sehingga 25% lebih tinggi berbanding 1QFY23.

 

Dalam pemasangan dan ujian penyumberan luar segmen MVS-T, Maybank IB menjangkakan penghantaran unit pulih daripada paras terendah empat tahun, iaitu 10 unit pada 1QFY23 kerana kumpulan itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada kesan pembukaan semula China yang sederhana, dengan rantau ini menyumbang sekitar 75% daripada pemulihan subsegmen.

 

“Begitu juga segmen MVS-S dengan jangkaan pemulihan sekitar 20% sehingga 30% lebih tinggi secara berurutan berikutan aliran tempahan yang lebih baik daripada sektor automotif dan telekomunikasi, dengan pelanggan sektor telekomunikasi secara aktif mengikuti strategi China+1 untuk mempelbagaikan rantaian bekalan jauh dari tanah besar berikutan ketegangan Amerika Syarikat-China,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, sumbangan segmen pemeriksaan papan automatik (ABI) pada 2QFY23 dijangka sama seperti 1QFY23 memandangkan permintaan kekal suam-suam kuku.

 

“Secara positif, projek di bawah segmen ini kekal sihat pada RM160 juta, memberikan sokongan yang sangat diperlukan untuk keterlihatan pendapatan jangka pendek walaupun permintaan lesu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, nisbah buku kepada bil Vitrox telah meningkat semula kepada 1.0 kali ganda setakat akhir 1QFY23 dan pengurusan kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek kumpulan pada 2H23 kerana pertumbuhan pembuatan domestik di China dijangka meningkat berikutan separuh pertama yang memberangsangkan.

 

Menurut firma itu, rancangan pengembangan kapasiti di Campus 3.0 kumpulan itu mengikut jadual namun tidak dijangka menyumbang kepada pendapatan syarikat sehingga permintaan kembali normal pada 1H24.

 

Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM8.60 sesaham sementara lebih menyukai Greatech Technology Bhd (beli, TP : RM6.05).

 

Saham Vitrox didagangkan naik 14 sen atau 1.7% kepada RM8.18 dengan modal pasarannya bernilai RM7.7 bilion. - DagangNews.com