Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek Swift Haulage kesan penggunaan rendah bagi segmen gudang | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek Swift Haulage kesan penggunaan rendah bagi segmen gudang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati-hati terhadap prospek Swift Haulage Berhad kesan daripada kadar penggunaan yang rendah bagi segmen gudang dan depoh kontena.

 

Katanya, kumpulan itu berdepan tekanan makroekonomi, menimbulkan risiko kepada kadar dan jumlah yang dikendalikan.

 

"Segmen gudang dan depoh kontena kumpulan masih terkesan oleh kadar penggunaan di gudang tertentu terutamnya di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) (disebabkan persaingan sengit) dan Gudang Tebrau (penggunaan sekitar 50% dan jumlah itu dijangka meningkat le[ada 80% dengan kemasukan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) pada suku ketiga)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan bagi suku pertama susut 11% kepada RM8.1 juta walaupun mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 6%.

 

Penyusutan itu berpunca daripada margin keuntungan operasi yang lebih rendah (disebabkan oleh overhed yang lebih tinggi, termasuk susut nilai) dan peningkatan kos kewangan.

 

Pertumbuhan hasil didorong oleh segmen pengangkutan darat (7%) serta Gudang dan depoh kontena (22%) disebabkan penambahan kapasiti baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan suku tahun ke suku tahun menyaksikan untung bersih teras kumpulan menurun sebanyak 39% walaupun terhadap peningkatan hasil sebanyak 4%.

 

Katanya, semua segmen kecuali pengangkutan darat mengalami penurunan dari segi keuntungan operasi. Perkembangan pengangkutan darat didorong oleh permintaan yang bertambah baik untuk perkhidmatan ekspres dan pengangkut kereta.

 

"Pengangkutan kontena menyaksikan hasil yang lebih tinggi daripada pemulihan jumlah pelanggan jarak jauh tertentu, walaupun jumlah keseluruhan menurun. Margin penhantaran barangan mengalami masalah pengendalian kargo projek yang lebih rendah dengan kadar/pekerjaan yang lebih baik," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 51 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com