KUALA LUMPUR 6 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan sasaran KLCI ditutup pada 1,610 mata akhir tahun ini disokong pelan tindakan makro dan pendapatan korporat yang kukuh.
Berdasarkan anggaran pendapatan teras yang disemak turun kepada 3.5% untuk 2024 dan 2% bagi 2025 berbanding paras 5% pada Disember 2023, firma penyelidikan itu mengekalkan sasaran KLCI itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada tempoh 12 bulan akan datang pada 14.2 kali ganda.
Ia menambah bahawa penarafan semula mungkin berlaku apabila pembaharuan ekonomi dan institusi dilaksanakan untuk menyokong pemacu pertumbuhan baharu, yang membawa kepada ganjaran risiko lebih baik.
“Kami kini mengunjurkan pertumbuhan pendapatan teras untuk syarikat di bawah liputan kami pada 2024 sebanyak 13.1% dan 11.4% untuk KLCI (berbanding 15.6% dan 11.2% setiap satu sebelum ini). Sementara itu, bagi 2025, pertumbuhan pendapatan dianggar pada 9.9% dan 8.2% untuk KLCI.
“Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan bank perlahan pada 2024 dengan kenaikan 5% tahun ke tahun, sementara pendapatan sektor petrokimia, perladangan, bahan dan utiliti melantun semula, serta sektor sarung tangan getah dan penerbangan kembali mencatat keuntungan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB telah menyemak semula penarafan sektor dengan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor pengguna daripada ‘neutral’ sebelum ini, manakala penarafan sektor penerbangan dan sarung tangan getah kini ‘neutral’.
Sementara itu, ia mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor bank, pembinaan, permainan, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi (perisian), manakala ‘underweight’ bagi sektor petrokimia dan media.
Pilihan utama bagi saranan ‘beli’ firma itu telah memasukkan Frontken, Hartalega, MR DIY, Aeon, Leong Hup International dan Cahya Mata Sarawak, namun mengetepikan Gamuda, Farm Fresh, Optimax, Wasco, Sime Property, ITMAX, Malaysia Airports dan Kossan, berdasarkan potensi peningkatan terkini. - DagangNews.com








