Maybank IB naikkan unjuran harga minyak sawit mentah sehingga RM3,800 dengan jangkaan ringgit terus lemah sehingga tahun depan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB naikkan unjuran harga minyak sawit mentah sehingga RM3,800 dengan jangkaan ringgit terus lemah sehingga tahun depan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan menaikkan unjuran purata harga jualan minyak sawit mentah (MSM) bagi 2023 dan 2024 masing-masing kepada RM3,800 dan RM3,700 setiap tan berikutan jangkaan ringgit terus lemah sehingga 2024.

 

Selain El Nino yang lemah setakat ini, firma penyelidikan itu berkata kelemahan ringgit lemah juga telah menjadi faktor sokongan harga utama untuk niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) pada Derivatif Bursa Malaysia (BMD) sejak enam bulan lalu.

 

Menurut firma itu, semak naik unjuran yang tinggi sedikit sebanyak RM100 (2.7%) dan RM200 (5.7%) setiap tan pada 2023 dan 2024 turut mencerminkan kesan yang dijangkakan pada pengeluaran minyak sawit pada 2024 disebabkan El Nino berterusan sederhana.

 

Jelasnya, El Nino yang sederhana setakat ini pada 2023 juga mungkin menghasilkan pengeluaran minyak sawit lebih rendah daripada jangkaan awal pada 2024.

 

“Ringgit yang lemah, tanpa sengaja, juga akan menambah beberapa tekanan kos ke atas penanam Malaysia.

 

“Kami akan menyemak semula unjuran pendapatan untuk saham di bawah liputan kami pada musim pelaporan akan datang ini terhadap purata harga jualan (ASP), kos unit dan pengeluaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada Oktober, stok MSM Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dilaporkan terus meningkat berikutan pengeluaran MSM pada paras tertinggi dalam tempoh lima tahun.

 

Firma itu berkata anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dalam 10 hari pertama November 2023 oleh Amspec dan Intertek (juruukur kargo bebas) menunjukkan peningkatan kecil bulan ke bulan dalam eksport masing-masing pada 403,305 tan (2%) dan 398,375 tan (1%).

 

Tambahnya, adalah penting bagi eksport yang tinggi untuk dikekalkan bagi memastikan simpanan stok daripada terus meningkat.

 

“Walaupun pengeluaran bulanan 2023 mungkin memuncak pada Oktober, kami mendapati daripada beberapa sumber bahawa pengeluaran mungkin kekal teguh pada November, yang menunjukkan kemungkinan stok bulanan MPOB belum di kemuncak bagi 2023,” katanya.  - DagangNews.com