Maybank IB 'potong' unjuran untung bersih Dialog Group sebanyak 5%, 9% bagi FY24 serta FY25 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB 'potong' unjuran untung bersih Dialog Group sebanyak 5%, 9% bagi FY24 serta FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengurangkan unjuran untung bersih Dialog Group Berhad sebanyak 5% dan 9% bagi FY24 dan FY25.

 

Katanya, dalam 4QFY23 margin untung sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan itu meningkat dengan ketara kepada 11.8% (+4.2ppts daripada 7.6% pada 3QFY23) dan pengurusan telah mengaitkannya dengan penyiapan beransur-ansur kontrak EPCC hiliran yang merugikan.

 

Kontrak EPCC itu ditandatangani semasa pandemik COVID-19 dan Dialog mengalami lebihan kos projek pada projek ini disebabkan oleh harga bahan yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kos tenaga kerja.

 

Firma penyelidikan itu memahami bahawa sebahagian besar kontrak yang merugikan ini ditetapkan untuk disiapkan secara beransur-ansur pada 4QCY23. 

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan margin keuntungan kumpulan akan terus meningkat daripada tahap 4QFY23.

 

"Kami positif terhadap kestabilan operasi/kewangan Dialog daripada aset terminal dan usaha membangunkan Pengerang dengan potensi penuhnya kekal sebagai agenda utamanya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, laporan terkini menunjukkan kemungkinan kemasukan syarikat petrokimia terbesar China, Rongsheng Petrochemical dengan anggaran komitmen sebanyak RM80 bilion bagi kemudahan menapis di Pengerang.

 

"Kami percaya ia akan memberi manfaat kepada Dialog kerana keperluan penyimpanan untuk produk mereka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.43 sesaham. - DagangNews.com