Maybank IB tidak tolak kemungkinan Malakoff catat kerugian ketara pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB tidak tolak kemungkinan Malakoff catat kerugian ketara pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) tidak menolak kemungkinan Malakoff Corporation Berhad mencatatkan kerugian yang ketara bagi FY23 kesan daripada margin bahan api negatif.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan bagi suku kedua tahun ini adalah jauh di bawah jangkaan dan konsensus kerana kerugian yang dicatatkan kumpulan itu adalah semakin besar.

 

Katanya, kerugian bersih Malakoff melebar kepada RM319 juta (daripada kerugian RM76 juta  pada suku pertama dan RM119 juta pada suku kedua), menjadikan kerugian bersih separuh pertama 2023 kepada RM394 juta berbanding keuntungan bersih RM170 juta pada separuh pertama tahun lalu. 

 

Kemerosotan dari suku tahu ke suku tahun disebabkan oleh margin bahan api negatif secara berperingkat di loji arang batu.

 

"Walaupun kami sebelum ini telah menekankan kemungkinan margin bahan api negatif pada suku kedua tahun ini, magnitud kerugian adalah mengejutkan.

 

"Margin bahan api negatif Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) pada suku kedua 2023 meningkat dengan ketara kepada RM556 juta (daripada RM87 juta pada suku pertama), manakala margin Tanjung Bin Energy (TBE) mengecil sedikit kepada RM15 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Malakoff mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM318.73 juta dalam suku kedua yang berakhir 30 Jun 2023, berbanding keuntungan bersih RM119.15 juta pada tempoh yang sama tahun lalu susulan impak daripada margin bahan api.

 

Keuntungan juga terjejas disebabkan oleh kos bahan api purata wajaran yang lebih tinggi, sumbangan yang lebih rendah daripada Loji Janakuasa GB3, kos insurans operasi yang lebih tinggi, dan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat sekutu dan syarikat usaha sama.

 

Pada suku itu, Malakoff merekodkan hasil tinggi sedikit sebanyak RM2.36 bilion daripada RM2.32 bilion, dengan prestasi stabil terutamanya oleh pembayaran tenaga tinggi dan pendapatan kapasiti yang direkodkan daripada TBE memandangkan harga arang batu sebenar (ACP) yang tinggi dan tempoh gangguan loji lebih singkat bersama dengan bayaran tenaga yang lebih tinggi direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya sedang mencari penjelasan mengenai pergerakan margin bahan api negatif yang berurutan.

 

"Kami tidak menolak kemungkinan Malakoff akan mengalami kerugian pada FY23. Jika berlaku, ia ini boleh memberi implikasi negatif kepada dividen.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 60 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com