Maybank IB unjur kenaikan tarif air untuk segmen bukan domestik pacu hasil Ranhill Utilities | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur kenaikan tarif air untuk segmen bukan domestik pacu hasil Ranhill Utilities

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Pelaksanaan kenaikan tarif air untuk segmen bukan domestik akan membantu meningkatkan hasil Ranhill Utilities Berhad.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kuantum kenaikan tarif itu adalah sejajar dengan purata kenaikan MYR0.25/m3 yang diumumkan kerajaan pada 2022.

 

Katanya, kenaikan tarif itu sudah lama tertunggak dan pelarasan tarif sebelum ini adalah pada 2015, atau tiga tempoh operasi yang lalu.

 

"Langkah seterusnya dalam pembaharuan kawal selia adalah pematuhan yang lebih ketat kepada rangka kerja tarif (seperti utiliti, elektrik dan gas).

 

"Kemampanan kewangan industri air antara salah satu agenda utama kerjaaan, pematuhan yang lebih ketat terhadap rangka kerja tarif akan membantu meningkatkan pendapatan keseluruhan pengendali air," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu telah mengumumkan bahawa mereka telah mula melaksanakan pelarasan tarif yang diwartakan sebelum ini (pada Julai 2022) untuk segmen bukan domestik.

 

Katanya, kadar untuk 35m3 pertama yang digunakan setiap bulan dinaikkan kepada RM3.10/m3 (daripada RM2.80/m3), manakala penggunaan seterusnya dinaikkan kepada RM3.50/m3 (daripada MYR3.30/m3).

 

"Secara berasingan, caj bulanan minimum untuk kedua-dua institusi agama dan kategori perkapalan juga dinaikkan (tarif untuk kedua-duanya tidak berubah)," katanya.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan dan harga sasaran (TP) 60 sen (diperolehi daripada jumlah bahagian dengan RSAJ, RP1 dan RP2 bernilai DCF) tidak berubah buat masa ini.

 

"Unjuran itu adalah termasuk kenaikan 15 sen/m3 (+4.6%) dalam purata tarif bukan domestik RSAJ pada 2023. 

 

"Setiap kenaikan 5 sen/m3 dalam purata tarif bukan domestik akan meningkatkan keuntungan bersih tahunan sebanyak RM6 juta," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan TP 60 sen sesaham. - DagangNews.com