Maybank IB unjur pendapatan teras Press Metal Aluminium meningkat sehingga RM350 juta bagi 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur pendapatan teras Press Metal Aluminium meningkat sehingga RM350 juta bagi 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pendapatan teras Press Metal Aluminium Holdings Berhad bagi 4QFY23 yang akan dikeluarkan pada penghujung Februari 2024 meningkat sehingga RM350 juta sekiranya tidak berlaku sebarang perubahan luar jangka dalam struktur kos.

 

Katanya, anggaran itu berdasarkan harga spot aluminium London Metal Exchange (LME) yang lebih tinggi iaitu AS$2,228 setiap tan pada 4QFY23 (3QFY23: AS$2,203 setiap tan, 4QFY22: AS$2,353 untuk satu tan).

 

"Anggaran keuntungan bersih teras 4QFY23 kami membayangkan pendapatan terkumpul FY23 sebanyak RM1.21 bilion hingga RM1.26 bilion yang akan mencapai  98% hingga 102% daripada ramalan tahun penuh yang disemak dan RM1.24 bilion pendapatan konsensus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Bloomberg Intelligence (BI) menjangkakan pertumbuhan permintaan aluminium kekal tidak memberangsangkan masing-masing pada +1%/+3%/+2% untuk 2023 hingga 2025.

 

Katanya, pertumbuhan itu didorong pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) global yang akan meningkatkan penembusan kenderaan elektrik (EV) dan mengimbangi permintaan yang kurang memberangsangkan daripada sektor pembinaan global.

"BI juga meramalkan pasaran aluminium global berubah menjadi lebihan kecil atau pengurangan di bawah 500,000 tan bagi setiap tahun antara 2023 hingga 2025," katanya.

 

Berdasarkan andaian harga spot aluminium LME, Maybank IB mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 33% pada FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com