Maybank IB yakin pelabur asing semakin minat melabur dalam saham bank-bank di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Maybank IB yakin pelabur asing semakin minat melabur dalam saham bank-bank di Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat bahawa terdapat banyak faktor yang dapat menarik pelabur asing untuk mempertimbangkan semula pelaburan mereka dalam saham bank-bank di Malaysia.

 

Walaupun masih awal untuk menentukan sama ada bank Malaysia boleh menarik minat asing, firma penyelidikan itu berkata sektor perbankan Malaysia mempunyai penilaian yang menarik memandangkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) kini berlegar menghampiri paras penilaian ketika pandemik, iaitu rendah pada sisihan piawai -1 (-1SD).

 

“Ditambah dengan pulangan atas ekuiti (ROE) yang diunjur pada purata 10% di tengah-tengah pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.8% dan 6.5% masing-masing pada 2024 dan 2025, serta hasil dividen purata kira-kira 5%, kami kekal positif pada sektor ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain penilaian menarik, ROE kukh dan hasil dividen, Maybank IB berkata jangkaan kadar faedah yang stabil dan prospek ringgit yang lebih kukuh di hadapan turut menyebabkan pelabur asing mempertimbangkan semula untuk melabur dalam bank Malaysia.

 

Selepas krisis kewangan global (dari Disember 2009 dan seterusnya), Maybank IB berkata tahap pegangan saham asing dalam saham bank-bank di Malaysia telah menurun dari semasa ke semasa. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memerhati beberapa minat asing dalam beberapa bulan kebelakangan ini, seperti Maybank dan CIMB Group Holdings Berhad, yang telah menyaksikan tahap pegangan saham asing mereka naik semula dari paras terendah mereka. 

 

“Pegangan saham asing dalam Maybank kini berada pada 19.2% (Januari 2024), iaitu kira-kira pertengahan antara paras puncaknya 26% dan rendah 15.6%.

 

“Pegangan saham asing dalam CIMB meningkat kepada 30.7% (Disember 2023) sejak mencatatkan 20.3% pada Mei 2021, yang mungkin didorong prestasi kewangan kumpulan yang membanggakan di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya sekarang, Datuk Abdul Rahman Ahmad, yang memegang jawatan pada Jun 2020,” ulasnya.

 

Maybank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap enam kumpulan perbankan, iaitu AMMB Holdings Berhad (TP: RM4.75), CIMB Group (TP: RM6.60), Public Bank (TP: RM5.05), Alliance Bank (TP: RM4.10), Hong Leong Bank (TP: RM23) dan Hong Leong Financial Group (RM21.70).

 - DagangNews.com