Maybank Islamic agih bantuan makanan asas kepada lebih 8,000 keluarga di 11 negara | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic agih bantuan makanan asas kepada lebih 8,000 keluarga di 11 negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Sempena menyambut Ramadan tahun ini, Maybank Islamic Berhad telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.5 juta untuk mengagihkan keperluan makanan asas kepada lebih 8,000 buah keluarga kurang berkemampuan di 11 buah negara, hari ini.

 

Sejak 2013, program kemasyarakatan ini telah memanfaatkan lebih 120,000 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), golongan tunawisma serta golongan asnaf yang lain dengan jumlah dana sebanyak lebih RM12 juta.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman, berkata, program ini selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh cawangan Maybank beroperasi terutama menerusi program kemasyarakatan untuk terus berada dekat dihati masyarakat.

 

“Bulan Ramadan adalah bulan ibadah yang dinanti-nantikan bagi umat Islam di seluruh dunia. Namun, sejak berdepan cabaran pandemik COVID-19 pada 2020 yang lalu, kita menyaksikan perubahan aktiviti ibadah sepanjang Ramadan dilaksana dalam suasana serba baharu.

 

"Justeru, kami berasa amat bersyukur kerana dapat meneruskan program dan berkongsi rezeki untuk tahun yang ke-10 ini bukan sahaja kepada golongan sasaran di Malaysia, malah di 10 negara lain rantau ASEAN yang memerlukan bantuan serta golongan pekerja asing yang merantau terutama dalam sektor perkhidmatan sokongan di Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, antara bekalan makanan yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, tepung, gula dan lain-lain barangan keperluan asas sebagai persiapan untuk menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba. 

 

 

maybank
Ibu tunggal yang memiliki 7 anak, Bunga Ibin (kanan) menerima sumbangan makanan asas di Pulau Kalapuan, Semporna, Sabah.

 

 

"Di Singapura, lebih 800 keluarga akan menerima juadah berbuka puasa dibawah program berkenaan. Negara termasuklah Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, Dubai dan etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh," katanya.

 

Program tahun ini dijalankan dengan lima pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM), Islamic Relief Malaysia (IRM), MERCY Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Ikhlas.

 

 

maybank
Fadzli Mahmod, 37, (kiri) menerima bantuan tersebut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai, Kuala Lumpur.

 

 

Maybank Islamic sentiasa komited dalam merangka program tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun tetapi juga menjadi organisasi yang bertanggungjawab melalui prinsip menyepadukan kriteria Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selaras dengan matlamat agenda pembangunan mampan Kumpulan Maybank.

 

Selain Program Regional Ramadhan Relief, Maybank Islamic memperuntukan dana lebih RM18 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat yang akan diagihkan sepanjang tahun 2022 termasuklah Program Semarak Ilmu iaitu program pendidikan untuk kanak-kanak asnaf dan Reach Independence & Sustainable Entrepreneurship (R.I.S.E), sebuah inisiatif pemerkasaan ekonomi golongan asnaf. - DagangNews.com