Maybank Islamic, Synxsoft bekerjasama tawar platform pengurusan halal digital kepada PMKS | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic, Synxsoft bekerjasama tawar platform pengurusan halal digital kepada PMKS

Datuk Mohamed Rafique Merican (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Synxsoft, Mazrie Mahat bertukar perjanjian kerjasama semasa majlis pelancaran Sistem Jaminan Halal (HAS).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Maybank Islamic Berhad telah menjalin kerjasama dengan Synxsoft Sdn Bhd, membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengakses dan memperoleh sijil halal untuk perniagaan mereka secara digital dengan lancar.

 

Perkhidmatan ini tersedia bagi pelanggan PMKS di Kuala Lumpur dan Selangor, serta akan diperluaskan di seluruh negara pada Januari 2024.

 

Synxsoft, yang menawarkan perkhidmatan aplikasi mudah alih dan pembangunan perisian, memiliki platform halal dikenali sebagai CoreHalal.

 

Melalui platform ini, pelanggan Maybank Islamic dapat mengetahui tahap kesediaan mereka melalui penilaian dalam talian yang dipanggil ‘Taqyim’ dan memudahkan pengurusan dokumen halal mereka melalui sistem jaminan halal atau Halal Assurance System (HAS).

 

"Inisiatif ini dapat menjadikan proses pensijilan halal dan pengurusan dokumen pelanggan PMKS menjadi lebih lancar melalui rumusan digital yang dipercayai dan efisien.

 

“Platform ini bertujuan untuk mengubah persepsi bahawa pensijilan halal adalah mahal, memakan masa dan rumit," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican.

 

 

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Shahril Abd Samat (keempat dari kiri) dan Datuk Mohamed Rafique Merican (lima dari kiri) bersama empat wakil daripada syarikat makanan dan minuman diperakui halal di bawah Inisiatif Halal Maybank Islamic semasa majlis penyerahan sijil hala
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Shahril Abd Samat (keempat dari kiri) dan Datuk Mohamed Rafique Merican (lima dari kiri) bersama empat wakil daripada syarikat makanan dan minuman diperakui halal di bawah Inisiatif Halal Maybank Islamic semasa majlis penyerahan sijil hala

 

 

Beliau menambah bahawa melalui kerjasama dengan Synxsoft, Maybank Islamic menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pelanggan PMKS Kumpulan Maybank yang diiktiraf halal oleh JAKIM di Malaysia serta menyokong usaha untuk menaik taraf, merangsang pertumbuhan dan meningkatkan daya tahan perniagaan mereka.

 

Inisiatif halal ini adalah hasil daripada pelbagai sesi pertemuan dijalankan bersama pelanggan yang menghadapi pelbagai cabaran dalam proses mendapatkan pensijilan halal.

 

Setakat Julai 2023, Kumpulan Maybank mempunyai sebanyak 3,897 pelanggan yang diiktiraf halal dengan kemudahan perbankan berjumlah RM3.3 bilion dan bank itu berhasrat untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 4,200 menjelang akhir tahun depan.

 

"Dengan peningkatan kesedaran pengguna terhadap produk halal, nilai-nilai asas seperti kebersihan dan standard etika yang mampan semakin diakui dan diterima oleh orang Islam dan bukan Islam," kata Mohamed Rafique sambil menambah bahawa sumbangan dan kepentingan industri halal sebagai sektor strategik dalam pembangunan ekonomi negara semakin meningkat.  - DagangNews.com