Maybank lancar perkhidmatan pembayaran QR untuk rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara | DagangNews Skip to main content

Maybank lancar perkhidmatan pembayaran QR untuk rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Maybank melancarkan perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadannya untuk pelanggan Maybank yang melancong ke Singapura, Indonesia dan Thailand, yang mana mereka boleh melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai dan segera melalui aplikasi MAE. 

 

Maybank dalam kenyataan hari ini berkata, tawaran baharu itu membolehkan rakyat Malaysia yang melawat negara berkenaan menikmati pilihan pembayaran lebih murah, pantas dan mudah melalui aplikasi MAE. 

 

Katanya, dengan pembukaan semula sempadan untuk perjalanan tanpa kuarantin, pembayaran QR rentas sempadan menawarkan kemudahan kepada pelancong supaya tidak perlu beratur di pengurup wang dan membawa sebarang wang tunai.


 
"Begitu juga pelancong yang melawat Malaysia yang mana banknya ada hubungan dengan penyedia perkhidmatan pembayaran juga boleh mendapat manfaat daripada QR rentas sempadan menggunakan aplikasi perbankan tempatan mereka di peniaga Maybank QRPay di seluruh negara. 

 

"Ini memberi manfaat besar kepada peniaga tempatan yang berdaftar, kerana ia membolehkan mereka menerima bayaran daripada pelancong dalam ringgit Malaysia terus ke dalam akaun mereka," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, Maybank sentiasa untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang akan memberikan nilai dan meningkatkan kehidupan pelanggannya, selaras dengan tujuan untuk 'Menginsankan Perkhidmatan Kewangan'. 

 

Katanya, perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan adalah ciri penting yang akan memudahkan pelancong Malaysia ke luar negara melalui aplikasi MAE, serta pelancong yang datang ke Malaysia untuk melakukan pembayaran tanpa tunai melalui mata wang negara masing-masing. 

 

"Ia juga berfungsi sebagai kunci untuk meningkatkan kecekapan sambil mempromosikan ekonomi digital dan ketrangkuman kewangan di rantau ASEAN.


 
"Ini adalah tepat pada masanya yang mana kami melihat peningkatan ketara dalam permintaan teknologi dalam kalangan orang ramai ketika mereka mencari rumusan perbankan yang menawarkan kelajuan tiada tandingan dan tahap kemudahan baharu sambil memastikan keselamatan transaksi mereka, terutamanya selepas wabak," katanya.


  
Perkhidmatan pembayaran QR Maybank akan memberikan kemudahan kepada lebih 8 juta pengguna aplikasi Maybank dan memanfaatkan lebih 700,000 peniaga Maybank QRPay di Malaysia. 

 

Kira-kira 3.5 juta pelancong Malaysia melancong ke Singapura, Indonesia dan Thailand pada 2022 dan dengan pengenalan perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan Maybank, kumpulan menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan yang lancar dan selamat untuk mereka.

 

Perkhidmatan pembayaran QR merentas sempadan bank diwujudkan melalui kerjasama antara Bank Negara Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). Maybank juga sedang dalam usaha untuk melancarkan ciri pembayaran ini di lebih banyak negara tidak lama lagi. - DagangNews.com