MBI perlu dana RM4.5 juta transformasi wajah Gerbang Malam sebagai lokasi tarikan ekonomi | DagangNews Skip to main content

MBI perlu dana RM4.5 juta transformasi wajah Gerbang Malam sebagai lokasi tarikan ekonomi

Gerbang Malam merupakan nadi ekonomi peniaga kecil di Ipoh selain menjadi tumpuan pengunjung luar.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 5 Feb - Proses naik taraf lokasi perniagaan popular bandar ini, Gerbang Malam terus dilaksanakan untuk menjadikan kawasan tumpuan itu segar dan mengamit pengunjung.

 

Peruntukan sebanyak RM4.25 juta telah dimohon Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) daripada Jabatan Perdana Menteri tahun lalu bagi pembinaan struktur Gerbang Malam Fasa 2. 

 

Permohonan ini melibatkan pembinaan struktur teduhan, kerja-kerja elektrik termasuk pemasangan kipas helikopter dan pembinaan pejalan kaki.

 

Sebelum ini pihak MBI telah melaksanakan projek Fasa 1 di Jalan Dato Tahwil Azar melibatkan kawasan sepanjang 185 meter (m) dan siap sepenuhnya pada April 2023.

 

Gerbang
Projek Fasa 1 melibatkan pemasangan bumbung kanopi di laluan pejalan kaki Gerbang Malam.

 

MBI dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan projek adalah melalui kerajaan negeri Perak yang menerima Pemberian Khas Perdana Menteri Tahun 2019 berjumlah RM2.6 juta.

 

Menurut kenyataan itu, pihak MBI juga telah memperuntukkan tambahan kos berjumlah RM300,000 bagi projek ini.

 

“Sebahagian lagi tapak Gerbang Malam sepanjang 171m berbanding keseluruhan tapak 356m tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekurangan peruntukan.

 

“Projek sedia ada hanya mengambilkira penyediaan plug point kipas helikopter, namun tidak mengambilkira pemasangan kipas tersebut,” ujar kenyataan itu.

 

Gerbang
Gerbang Malam yang dibuka 20 tahun lalu menyumbang pada ekonomi bandar Ipoh.

 

Gerbang

 

Memandangkan sehingga kini, MBI masih belum menerima kelulusan peruntukan bagi pembinaan Fasa 2, dana sebanyak RM500,000 dimohon daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

 

Ini bagi membolehkan beberapa kerja-kerja awal dapat dijalankan dahulu tahun ini.

 

MBI berharap agar peruntukan keseluruhan projek ini dapat diluluskan mengikut jumlah yang dimohon bagi menambahbaik aktiviti perniagaan di lokasi tersebut.

 

Gerbang Malam yang beroperasi sejak 20 tahun lalu menjadi nadi ekonomi bagi 128 peniaga kecil dan diakui sebagai tempat tumpuan orang ramai di bandar ini pada waktu malam. - DagangNews.com