KOTA BHARU 12 Julai - McDonald's Malaysia akan membuka lima lagi cawangan restoran baharu di Kelantan sehingga tahun depan, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar.
Beliau berkata dua restoran baharu akan dibuka pada tahun ini manakala bakinya dijangka dibuka pada tahun depan.
“Insya-Allah, sebuah restoran baharu akan dibuka pada minggu depan di Troika, Kota Bharu dan sebuah lagi restoran baharu akan dibuka sebelum akhir tahun ini di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gua Musang.
“Tiga lagi tempat telah dikenal pasti termasuk masing-masing di Pasir Puteh dan Tumpat, insya-Allah akan dibuka pada tahun depan,” katanya pada sidang media hari ini, Bernama melaporkan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembayaran Zakat Korporat McDonald’s Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Sumbangan Qurban di sini.
Mengulas lanjut, Azmir berkata McDonald's Malaysia mempunyai rancangan jangka panjang untuk membuka 20 restoran baharu di Kelantan dalam tempoh lima tahun.
“Setiap restoran memerlukan 100 tenaga kerja. Oleh itu, dengan 20 restoran kita boleh mengadakan (menawarkan) lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu kepada
anak-anak tempatan, 100% anak-anak tempatan kerana kita tidak mengambil pekerja asing,” katanya. - DagangNews.com