Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mac. - Syarikat insurans hayat, MCIS Insurance Berhad (MCIS Life) berganding bahu bersama Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade Asia) bagi menawarkan pelan perlindungan insurans hayat khususnya kepada pekerja asing serendah RM1.
Pelan tersebut bagaimanapun turut dibuka dan tersedia kepada rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MCIS Life, Prasheem Seebran berkata, pelan tersebut disediakan tepat pada masanya memandangkan pandemik Covid-19 masih menular dan kesukaran mendapatkan perlindungan insurans yang berpatutan.
“Pekerja asing memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.
"Oleh yang demikian, kita perlu memastikan segmen penduduk ini, yang bekerja seiring rakyat Malaysia, mempunyai capaian yang saksama kepada perlindungan kewangan pada masa yang tidak menentu.
"Langkah ini amat penting untuk memberi mereka ketenangan minda. Setakat ini, kami telah membayar tiga tuntutan berjumlah RM16,000 kepada penama yang berada di negara asing, dan diproses dalam masa lima hari bekerja," katanya dalam satu kenyataan.
Seiring dengan slogan MCIS Life iaitu 'Insan Membantu Insan', syarikat berkenaan ingin memainkan peranan lebih besar dalam kalangan penduduk Malaysia yang lebih luas dengan menyediakan perlindungan dan bantuan bersama kepada semua segmen penduduk.
Beliau berkata, pelan insurans hayat baharu itu dirangka supaya mampu diperolehi, pada harga dari serendah RM1 sebulan sekali gus menjadikannya pelan insurans hayat yang memberikan nilai wang paling besar di negara ini.
Menariknya juga, pelan berkenaan melibatkan proses tuntutan yang tidak rumit dan mudah didapati menerusi rangkaian Merchantrade Asia yang luas.
Pelan insurans hayat mikro itu diunderait oleh MCIS Life dan diedarkan oleh Merchantrade Asia di bawah pelan “Merchantrade Insure Life.
Berikut adalah manfaat pelan berkenaan;
- Jumlah diinsuranskan fleksibel dengan premium bulanan serendah RM1 bagi jumlah diinsuranskan asas sebanyak RM4,000
- 100% daripada jumlah diinsuranskan asas dibayar bagi kematian hayat yang diinsuranskan atas semua sebab termasuk COVID-19
- Jumlah diinsuranskan asas berganda dibayar bagi kematian hayat yang diinsuranskan akibat penyakit tertentu termasuk demam denggi, demam Chikungunya, Malaria, Ensefalitis Jepun, Influenza Burung atau virus Zika.
Sementara itu, Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K Veeran memberitahu, pihaknya teruja dengan pelbagai potensi yang boleh dimanfaatkan daripada kerjasama tersebut.
“Di Merchantrade kami menyediakan sebuah ekosistem untuk perkhidmatan yang relevan menerusi kerjasama dan pakatan industri, dengan mencipta cara baharu untuk membolehkan perkhidmatan tersebut boleh dicapai oleh segenap lapisan masyarakat.
"Wawasan kami ialah untuk membawa kemudahan ke suatu tahap yang lebih baik dalam kehidupan seharian, baik kepada warga asing mahupun rakyat Malaysia," ujarnya. - DagangNews.com