MDEC jangka capai RM150 juta dalam eksport digital ke Filipina menerusi program DEX Connex | DagangNews Skip to main content

MDEC jangka capai RM150 juta dalam eksport digital ke Filipina menerusi program DEX Connex

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz (dua dari kiri) bersama Penolong Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Perindustrian (DTI) Filipina, Leny Baluyut (tengah) semasa pertukaran token di program DEX Connex Filipina di Manila.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Thailand menerusi program DEX Connex, yang dijangka mencapai RM150 juta dalam prospek eksport digital.

 

MDEC dalam satu kenyataan media hari ini berkata, program berkenaan dirangka untuk menyokong pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia di Filipina dan memupuk kerjasama antara firma berteknologi tinggi di kedua-dua negara.

 

“Ia berfungsi sebagai platform bernilai kepada peserta untuk berhubung, mengembangkan pasaran mereka dan mempamerkan syarikat teknologi Malaysia, yang memacu peluang untuk pertumbuhan perniagaan dan memajukan ekonomi digital di negara-negara ASEAN,” tambahnya.

 

Menurut MDEC, sejumlah 35 syarikat berteknologi tinggi Malaysia menyertai program itu dan mereka menjalin kerjasama dengan 50 rakan kongsi berpotensi dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) di Filipina.

 

 

 Mahadhir Aziz (baris depan, ketiga dari kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino (tengah) bersama syarikat teknologi tinggi Malaysia dan Filipina semasa pemeteraian MoU pada program DEX Connex Filipina di Manila.
Mahadhir Aziz (baris depan, ketiga dari kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino (tengah) bersama syarikat teknologi tinggi Malaysia dan Filipina semasa pemeteraian MoU pada program DEX Connex Filipina di Manila.

 

 

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Filipina, Kedutaan Malaysia di Manila, DBP Data Center Inc dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (MCCI) di Filipina.

 

Pada masa yang sama, MDEC dan Jabatan Perdagangan dan Perindustrian (DTI) Filipina menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan memupuk inovasi digital dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan Filipina. 

 

Kerjasama itu bertujuan untuk mempercepatkan penggunaan e-dagang oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), memacu pertumbuhan mereka dan meningkatkan jangkauan pasaran mereka, serta merangsang semangat daya saing Industri Kandungan Kreatif Digital di kedua-dua negara.

 

“Aspek perkongsian ini adalah kerjasama antara Program Pecutan Global (GAP) DTI dan Program DEX Connex MDEC, yang akan menyediakan platform untuk syarikat pemula untuk berhubung, belajar dan berkembang,” tambahnya.

 

MDEC berkata, program tersebut turut menyaksikan pertukaran MoU antara syarikat teknologi Malaysia dan Filipina. 

 

“Objektif MoU adalah untuk merasmikan perkongsian jangka panjang, menyediakan sumber dan produk, serta perkhidmatan seperti perbankan, pembayaran digital, penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan sistem awan holistik antara syarikat,” katanya. - DagangNews.com