MDEC: MyDIGITAL fokus kerajaan wujudkan masyarakat diintegrasi Teknologi | DagangNews Skip to main content

MDEC: MyDIGITAL fokus kerajaan wujudkan masyarakat diintegrasi Teknologi

CYBERJAYA 19 Feb - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyifatkan pelancaran MyDIGITAL dilihat sebagai langkah positif kerajaan kepada gelombang digital dunia yang berkembang pantas ketika ini dan sangat penting bagi Malaysia sebagai pasaran ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini kekal kompetitif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC menyambut baik pengumuman Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

 

surina
SURINA SYUKRI

 

Menurutnya, MDEC teruja dengan inisiatif ini serta menawarkan sokongan dan komitmen tegas untuk menjayakan MyDIGITAL bersandarkan tiga teras strategik MDEC iaitu rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan dipacu secara digital dan menarik pelaburan digital bagi mencapai masyarakat terintegrasi teknologi selaras Malaysia 5.0 dan mengukuhkan kedudukan sebagai Nadi Digital ASEAN.

 

Mengulas lanjut, Surina berkata, pihaknya turut menyambut baik kebenaran bersyarat yang diberikan kerajaan kepada empat syarikat terkemuka iaitu Microsoft, Google, Amazon dan Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala besar dan perkhidmatan cloud.

 

“MyDIGITAL diyakini akan memperkukuhkan asas serta pembangunan infrastruktur digital negara. Memandangkan pertumbuhan ekonomi digital bergantung kepada data, inisiatif untuk wujudkan pusat data berskala hiper dengan jangkaan pelaburan mencecah RM15 bilion akan meningkatkan ruang inovasi dan perkongsian kerjasama awam dan swasta.

 

Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang disebut untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada dengan sasaran sembilan juta premis menjelang hujung 2025 akan menjadikan negara kita bersedia ke teknologi selular generasi kelima atau 5G dalam masa terdekat.

 

Seterusnya, komponen 5G akan memacu pelaburan dalam inovasi baharu menerusi kepantasan yang memungkinan pemindahan teknologi sekaligus mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjadikan Malaysia salah satu pasaran paling kompetitif di dunia,”katanya.

 

MyDIGITAL akan dilaksana mengikut tiga fasa bermula tahun ini sehingga 2030 dengan peringkat pertama menyaksikan fokus untuk mengukuhkan asas digital menerusi tindakan kerajaan merangka peraturan yang kondusif bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital.

 

Ini penting bagi meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan teknologi membabitkan pelbagai lapisan masyarakat sekaligus menjadikan data dan kepintaran digital sebagai nadi ekonomi digital negara.

 

Seterusnya, fasa kedua bagi tempoh 2023 hingga 2025 pula bertujuan untuk mendorong kemasukan transformasi digital. Peringkat ini akan menyaksikan pelaksanaan projek infrastruktur jalur lebar yang lebih cepat serta akses yang adil kepada peluang serta peraturan yang membolehkan ekonomi gig berinovasi dalam tanpa halangan.

 

Pada fasa terakhir pula bagi tempoh 2026 hingga 2030 bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pusat penghasilan serantau membabitkan produk digital serta mampu menawarkan penyelesaian digital.

 

Berdasarkan jangkaan baharu sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara yang mencecah 22.6 peratus menjelang 2025 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, MDEC bersama KKMM akan meneruskan usaha memimpin ekonomi digital supaya terus berkembang maju serta berpusat bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya merealisasikan masyarakat terintegrasi teknologi iaitu Malaysia 5.0.

 

MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif berpaksikan digital seperti diumumkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

 

Tambah Surina, pihaknya turut teruja apabila MyDIGITAL juga memberi tumpuan penting kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro untuk beralih ke arah e-dagang yang selama ini menjadi inisiatif penting dilaksanakan MDEC. - DagangNews.com