MDEC sasar pelaburan Big Data bernilai tinggi | DagangNews Skip to main content

MDEC sasar pelaburan Big Data bernilai tinggi

 

 


KUALA LUMPUR 10 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) optimis terhadap hasil tinjauan pertumbuhan terbaharu membabitkan Big Data Analytics (BDA) dan peluang pelaburan digital signifikan yang dapat dibawanya terutama dalam data teknologi dan bidang berkaitan perkhidmatan.

 

Laporan berkenaan turut meramalkan bahawa pendapatan untuk penyelesaian BDA akan mencapai AS$22.6 bilion pada 2020 dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12% di Asia Pasifik.

 

Selain itu, ia juga menyatakan bahawa jangkaan ini disebabkan oleh peningkatan keyakinan terhadap pelaburan BDA akan diperlukan untuk mencapai ketahanan digital dan perniagaan akibat pandemik COVID-19. 

 

Di Malaysia, kajian MDEC oleh IDC telah meramalkan pasaran BDA akan meningkat kepada AS$1.9 bilion menjelang 2025 berbanding AS$1.1 bilion tahun ini. 

 

Sektor perkhidmatan akan menyumbang sebanyak 64% daripada jumlah perbelanjaan untuk data manakala perbankan dan telekomunikasi pula menyumbang hampir satu pertiga. 

 

Raymond Siva
Raymond Siva

 

 

Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Penjenamaan yang juga Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva berkata, industri BDA di Asia Pasifik diunjur berkembang pesat melebihi 15% kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) bagi tempoh 2019-2024 disebabkan peningkatan pelaburan oleh pelbagai syarikat baharu dan perniagaan sedia ada.

 

"Pandemik COVID-19 telah menjadi game changer untuk BDA berikutan permintaan tinggi untuk perkhidmatan data dan awan sekali gus mempercepat transformasi digital dan memungkinkan ketahanan perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat yang melabur dalam BDA akan terus mengukuhkan peranan dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan perniagaan dan operasi serantau dan global.

 

“Ketika Asia kekal sebagai wilayah yang berkembang paling pesat di dunia, MDEC melihat keyakinan pelabur terhadap ekosistem digital Malaysia juga meningkat ketika pandemik masih berlarutan. 

 

"Syarikat sedia ada juga telah membuat pelaburan semula,” tambahnya. 

 

DataMicron Systems Sdn. Bhd., syarikat MSC tempatan dan TDCX, penyedia perkhidmatan pengalaman pelanggan telah memulakan pengembangan secara agresif melibatkan BDA sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburan baharu mereka.

 

BDA merupakan pusat ekonomi digital Malaysia dan ini telah menghasilkan pertumbuhan teknologi digital yang lain seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan advanced automation

 

Bagi menyokong pertumbuhan teknologi ini ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), Malaysia melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang membuka jalan supaya negara bersedia ke arah fasa berikutnya dalam era digital atau dikenali sebagai ‘dekad data’. 

 

Ini seterusnya memerlukan pembangunan kemahiran baharu untuk tenaga kerja tempatan.

 

Menerusi penyambungan rangkaian yang lebih baik, liputan yang lebih luas dan pengalaman jalur lebar berkualiti kepada masyarakat, Jendela akan mempercepat pertumbuhan BDA ketika negara bersedia untuk teknologi 5G.

 

Penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menarik pelaburan digital yang diinginkan ke negara ini. 

 

Berpandukan kepada dasar kerajaan yang menyokong serta pelbagai program peningkatan kapasiti yang diterajui oleh MDEC bersama rakan strategik tempatan dan antarabangsa, ia berusaha untuk melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran yang lebih baik bagi memenuhi permintaan pekerjaan berteraskan digital termasuk penciptaan kandungan dalam talian, data sains dan analisis dan pengaturcaraan.

 

Semua ini dilaksanakan melalui inisiatif perkongsian awam swasta yang dipacu oleh MDEC termasuk Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI), Kerangka Kemahiran Industri (IndSF), Direktori Latihan Kemahiran Digital untuk profesional yang bekerja dan program kerjasama teknologi data dengan syarikat gergasi teknologi. 

 

Program-program ini diperkenalkan untuk mempercepat usaha yang didorong oleh data dan mengembangkan bakat digital yang merupakan sebahagian daripada usaha MDEC untuk mendorong Malaysia pada era IR4.0. 

 

MDEC terus menyokong pengembangan bakat BDA ini dan yakin, ia dapat membantu tenaga kerja serta ekonomi negara memanfaatkan pendapatan AS$13 trilion (RM53.2 trilion) yang dijangka diraih oleh aplikasi membekalkan data bagi ekonomi global menjelang 2030. - DagangNews.com