MEASAT, Parcel 365 lancar inisiatif KampungDigital365.com bagi pacu ekonomi digital kawasan luar bandar | DagangNews Skip to main content

MEASAT, Parcel 365 lancar inisiatif KampungDigital365.com bagi pacu ekonomi digital kawasan luar bandar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - MEASAT Global Bhd bekerjasama dengan Parcel365 Sdn Bhd dan M2B Services Sdn Bhd melancarkan inisiatif KampungDigital365.com untuk meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar menerusi aktiviti ekonomi digital. 

 

Ia dilancarkan di Pos Sinderut di Kuala Lipis, Pahang yang merangkumi kira-kira 14 perkampungan Orang Asli dengan jumlah populasi lebih 4,000 penduduk.

 

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, pihaknya komited untuk memastikan supaya penduduk luar bandar dan kawasan pendalaman mendapat akses kepada semua manfaat daripada ketersambungan internet berkelajuan tinggi yang boleh diyakini. 

 

Katanya, dalam era ekonomi digital berkembang pesat, ketersambungan adalah penting dalam usaha memperkasakan dan meningkatkan taraf hidup komuniti, terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar kawasan pusat populasi bandar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. 

 

"Menerusi inisiatif KampungDigital365.com, MEASAT mengukuhkan lagi komitmen kami untuk merapatkan jurang digital, membantu memupuk semangat keusahawanan dan potensi produktiviti dalam kalangan pengguna CONNECTme NOW, disokong penyelesaian logistik dan perniagaan yang khusus oleh Parcel365," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Semasa pelancaran itu, lawatan di sekitar projek KampungDigital365.com memberi penjelasan bagaimana inisiatif tersebut boleh meningkatkan taraf kehidupan kira-kira 7 juta rakyat Malaysia  yang tinggal di kawasan luar bandar yang mana majoritinya terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dalam golongan B40, dengan meningkatkan akses kepada ekonomi digital. 

 

Dengan membolehkan akses kepada e-dagang, aliran pendapatan dan peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan untuk penduduk kampung menerusi perkhidmatan ketersambungan dan logistik yang disokong oleh MEASAT dan Parcel365. 

 

 

MEASAT

 

 

Sebagai pelengkap kepada rumusan dan sokongan platform perniagaan e-dagang, Parcel365 menyediakan latihan keusahawanan dan bantuan pemasaran produk dalam talian menerusi platform Shopla365, bagi membantu penduduk kampung mengoptimumkan potensi ekonomi digital mereka. 

 

Pada masa jangka panjang, inisiatif KampungDigital365.com akan menggalakkan pembangunan industri luar bandar dan rantaian bekalan bernilai tambah, membuka saluran produk tempatan dan pertanian berkualiti tinggi, membuka akses kepada pasaran baharu dan memperkukuhkan penjenamaan dalam talian bagi perusahaan tempatan. 

 

Turut diusahakan ialah platform pembayaran digital untuk para peserta KampungDigital365.com, yang akan membolehkan mereka mengguna pakai teknologi e-pembayaran dan menyimpan rekod digital yang menawarkan kemudahan, keselamatan, kepantasan dan kebolehcapaian. 

 

Menjelang 2027, inisiatif KampungDigital365.com menyasarkan untuk mempunyai 3,000 kampung yang mengambil bahagian serta menjana 25 juta urus niaga e-dagang setiap tahun. 

 

Sasaran ini mencerminkan unjuran purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) e-dagang sebanyak 13% bagi Malaysia, yang mencecah nilai AS$14 bilion menjelang 2027. - DagangNews.com