MED4IRN gesa penyedia dana bekerjasama kenal pasti inisiatif perkukuh ekosistem modal teroka - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

MED4IRN gesa penyedia dana bekerjasama kenal pasti inisiatif perkukuh ekosistem modal teroka - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada 15 Disember 2023.

KUALA LUMPUR 15 Dis - Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang bermesyuarat kali kedua bagi tahun 2023 hari ini membincangkan mengenai kedudukan ekosistem pembiayaan modal teroka yang merangkumi pembiayaan daripada sektor awam dan sektor swasta.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, sehubungan itu penyedia dan pengurus dana modal teroka telah diminta untuk berganding tenaga dalam mengenal pasti usaha dan inisiatif bagi mengukuhkan ekosistem pembiayaan modal teroka untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

 

"Ini adalah penting untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital dan ekosistem inovasi di Malaysia," katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook beliau.

 

Mesyuarat kali ini dihadiri menteri-menteri pengerusi kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri daripada wakil sektor swasta, industri, akademik, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil.

 

Selain itu, Anwar berkata, MED4IRN turut bersetuju dengan cadangan Pelan Tindakan KL20 yang menyasarkan Malaysia berada pada kedudukan 20 teratas ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030, lapor Bernama.

 

Pelan ini turut menggariskan usaha membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau, katanya. - DagangNews.com