Menteri Wilayah Persekutuan baharu digesa teliti semula pembangunan meragukan di Kuala Lumpur - KLRA+SD | DagangNews Skip to main content

Menteri Wilayah Persekutuan baharu digesa teliti semula pembangunan meragukan di Kuala Lumpur - KLRA+SD

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - KLRA+SD menggesa Menteri Wilayah Persekutuan baharu, Dr Zaliha Mustafa akan meneliti semula semua inisiatif semasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pembangunan meragukan yang telah diluluskan terdahulu sebelum pelantikan beliau.

 

Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur, atau dikenali sebagai KLRA+SD, merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili persatuan penduduk di Kuala Lumpur, NGO dan institusi yang menyokong misinya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, KLRA+SD mendedahkan bahawa Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang diwartakan baru-baru ini tidak memasukkan input dan maklum balas penting daripada penduduk, pakar dan pihak berkepentingan lain. 

 

Jelasnya, sebanyak 149 cadangan diberikan namun tiada penjelasan mengapa kebanyakan besar input dan maklum balas itu tidak diterima pakai.

 

"Ini menimbulkan persoalan sama ada DBKL dan kerajaan benar-benar mengambil berat tentang kebimbangan yang diusulkan, atau ada pihak lain yang lebih berkepentingan dan berpengaruh telah mempengaruhi keputusan,"katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa

 

 

Selain itu, NGO itu berkata terdapat kes mahkamah yang belum selesai berhubung Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 (PTKL 2020), di mana pewartaan itu didakwa tidak sah dan kerajaan telah bertindak secara ultra vires  (tindakan diambil melangkaui bidang kuasa). 

 

Tambahnya, dalam kes itu, sebanyak 273 pelanggaran ditemui dalam pelan yang diwartakan, dan ia masih belum diselesaikan.

 

Di samping itu, KLRA+SD mendakwa bahawa projek pembangunan Taman Rimba Kiara yang kontroversi ketika Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi Menteri de facto WP (juga di bawah Jabatan Perdana Menteri) telah dibawa ke mahkamah namun DBKL menggunakan wang pembayar cukai untuk melantik peguam bagi mempertahankan projek yang sukar dipertahankan.

 

Di samping itu, pertubuhan itu berkata perintah pembangunan projek Bukit Dinding yang diluluskan oleh DBKL kini dalam semakan kehakiman, di mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menyatakan bahawa ia tidak mematuhi Garis Panduan Penilaian Impak Jabatan Alam Sekitar bagi Pembangunan di Kawasan Cerun dan Bukit (diterbitkan pada tahun 2017). 

 

"Malah, jika diteliti terdapat banyak bukti kegagalan yang boleh dilihat dalam soal tadbir urus dan pembangunan mampan ibu kota kita. 

 

"Kegagalan tadbir urus ini membawa kepada kerugian kepada kerajaan dan ekonomi, yang ditanggung oleh pembayar cukai di KL. la juga menurunkan kualiti hidup penduduk wilayah ini," katanya.

 

KLRA+SD berkata ia berharap Menteri Wilayah Persekutuan baharu dapat memberikan komitmen beliau terhadap pembaharuan undang-undang dan institusi bagi memastikan pembangunan Kuala Lumpur selaras dengan Agenda 21 (1992) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1992) dan Matlamat Pembangunan Mampan (2015), serta prinsip demokrasi yang lebih luas.- DagangNews.com