MERREPAK OLEH JOHARDY IBRAHIM
PADA 1997, secara puratanya wartawan termasuk saya dihantar dua kali sebulan ke tapak pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baharu, terletak 70km dari ibu negara.
Dua kali sebulan? Betul.
Ini kerana semua menteri kabinet yang berkaitan projek KLIA diwajibkan meninjau perkembangan pembinaan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Yang wajib tiap bulan ketika itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lim Liong Sik; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada mereka bertiga ini, paling tidak larat kami buat liputan ialah Datuk Seri Anwar. Beliau akan meninjau dari bangunan utama ke landasan, berjalan kaki. Masalahnya beliau berjalan laju. Terlalu laju.
Setelah beberapa kali `berlumba marathon’, kami tampil dengan idea bernas. Minta jurukamera sahaja yang ikut. Wartawan tunggu di kawasan yang dijangka Anwar akan buat sidang media.
KLIA dibuka secara rasmi pada Jun 1998. Rasa bangga ada. Rasa terharu ada sebab daripada awal pembinaan KLIA menerusi kerja liputan menteri-menteri, kami antara `orang luar’ yang dapat melihat perkembangan bulan ke bulan projek KLIA sehingga siap dan kemudiannya guna sendiri untuk menaiki pesawat.
Bila dihitung, sudah 26 tahun KLIA. Hampir tiga dekad. Bila direnung satu-satu masalah yang melanda KLIA, faktor usia memang besar.
Masalah paling menikam sukma ialah Aerotrain yang menghubungkan Terminal 1 dengan Terminal Antarabangsa.
Kerosakan Aerotrain ini sudah berlarutan selama 10 tahun bermula 2014! Masalah ini amat memalukan kerana pelawat antarabangsa mengungkit pengalaman buruk mereka setibanya di pintu masuk ke Malaysia ini.
MAHB telah menekankan dalam Laporan Tahunannya bahawa ia sedang mengusahakan penggantian Aerotrain setakat ini 2017 selepas beberapa kegagalan perkhidmatan.
Bagaimanapun, kontrak untuk projek itu hanya diberikan pada bulan Disember 2021 dan perkhidmatan itu telah digantung sepenuhnya sejak Mac 2023.
Dan selama 10 tahun ini jugalah, peneraju Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) silih berganti tetapi masih juga belum siap-siap walaupun sasaran asal ialah tahun 2024. Tarikh terbaharu ditetapkan oleh kerajaan ialah 31 Januari 2025. Harap-harap berjayalah.
Sepanjang 10 tahun ini juga, KLIA telah kehilangan penumpang dan bahagian pasaran (20% hingga 16%), gagal memanfaatkan pertumbuhan ASEAN.
Dalam konteks lapangan terbang, perbincangan kita tidak terhad kepada KLIA semata-mata tetapi keseluruhan lapangan terbang di bawah kendalian MAHB.
Hakikatnya MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh negara dan telah lama bergelut dengan ketidakcekapan operasi dan prestasi yang kurang memberangsangkan.
KLIA, yang pernah menjadi antara lima lapangan terbang terbaik di dunia, telah menyaksikan kedudukan Skytraxnya menjunam ke kedudukan ke-71 disebabkan oleh isu-isu daripada sistem aerotrain yang rosak hingga kemerosotan pengalaman penumpang.
Apa yang nyata, pelaburan yang besar diperlukan untuk membaiki lapangan terbang MAHB agar dapat setanding dengan pesaing.
Namun MAHB berdepan persaingan sengit. Lapangan terbang saingan di rantau ini merancang RM355 bilion bagi projek pembesaran dalam 10 tahun akan datang.
Apakah MAHB ada dana untuk berbuat demikian, atau terus berharap kepada kerajaan untuk menampung kos pembesaran?
Jawapannya ada tetapi rumit.
Ini kerana kos pembesaran terpaksa mengambil kira juga kos penyenggaraan, pembaikan, menyiapkan projek tertangguh dan sebagainya.
MAHB dianggarkan memerlukan kira-kira RM10 bilion untuk tujuan pembesaran dalam tempoh lima tahun akan datang.