Mestron: Kontrak RM13 juta bukan dari DNB tetapi pelbagai telko | DagangNews Skip to main content

Mestron: Kontrak RM13 juta bukan dari DNB tetapi pelbagai telko

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Sept - Pakar pembuat tiang, Mestron Holdings Bhd menjelaskan bahawa kontrak bernilai RM13 juta baru-baru ini diperoleh oleh anak syarikat milik penuhnya, Mestron Engineering Sdn Bhd, datang daripada pelbagai penyedia kemudahan rangkaian dan bukannya Digital Nasional Bhd (DNB), yang peranan utamanya adalah untuk mempercepatkan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia.

 

Kontrak yang diperoleh di bawah segmen telekomunikasi kumpulan antara Januari tahun ini dan tarikh pengumumannya baru-baru ini pada 6 September lalu, terdiri daripada 38 pesanan pembelian daripada 15 pelanggan.

 

Sebagai imbasan, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mestron pada hari itu menyatakan bahawa pesanan bernilai RM13 juta yang datang berikutan RM17.5 juta sebelum ini daripada platform peningkatan komunikasi digital nasional Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada bulan Jun, membolehkan kumpulan itu melihat peningkatan mendadak dalam buku pesanannya kepada RM53 juta tahun setakat ini.

 

"Kami mahu menjelaskan bahawa pesanan itu bukan datang dari DNB," komen pengarah urusan Mestron, Por Teong Eng dalam kenyataan media terbaru kumpulan itu.

 

"Kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak mempunyai hubungan kontrak dengan DNB tetapi Mestron telah terlibat secara aktif dengan pelbagai pihak yang berbeza untuk memastikan daya tahan perniagaan kami."


 

Mestron, Por Teong Eng
                    Por Teong Eng

 


Selain itu, Mestron juga memberitahu bahawa pesanan tersebut tidak terhad kepada satu tempat projek tunggal tetapi "dipelbagaikan di seluruh negara, termasuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak".

 

"Kami teruja dengan peluang di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk penyelesaian infrastruktur digital," tambah Por.

 

“Kami berharap dapat menyumbang kepada inisiatif 5G dengan membangunkan infrastruktur 5G di seluruh negara bersama pelbagai rakan kongsi dan pelanggan kami.

 

Dalam jangka pendek, Mestron percaya ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya dan menambah nilai bagi para pemegang sahamnya.

 

Pada penutupan dagangan pada 9 September 2022, kaunter Mestron tidak berubah pada 37.5 sen dengan 12.61 juta saham diniagakan, sekali gus menilai syarikat itu pada RM349 juta. – DagangNews.com