Mestron selesai pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mestron selesai pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Mestron Holdings Bhd telah berjaya memindahkan keseluruhan modal saham terbitannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad daripada Pasaran ACE.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mestron berkata Bursa Malaysia, melalui suratnya bertarikh 8 Disember 2023, meluluskan pemindahan di bawah sektor produk dan perkhidmatan industri.

 

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng, berkata pindahan itu menandakan peristiwa penting bagi kumpulan selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 18 Jun 2019. 

 

 

Por Teong Eng
Por Teong Eng

 

 

"Pemindahan itu akan mengukuhkan lagi kredibiliti kumpulan dalam kalangan pelanggan, pembekal, rakan perniagaannya, pekerja dan pemegang saham, serta mengukuhkan lagi pangkalan pemegang sahamnya, terutamanya dalam kalangan pelabur institusi," katanya.

 

Mestron adalah pengeluar domestik terkemuka dan pembekal tiang khusus, yang memberi tumpuan kepada sektor telekomunikasi.

 

Mestron juga telah menerokai segmen tenaga boleh diperbaharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam sektor solar dan biogas.

 

Keuntungan bersih Metron untuk sembilan bulan pertama 2023 (9MFY23) melonjak 40.2% kepada RM9.41 juta, daripada RM6.72 juta dalam tempoh sama setahun lalu.

 

Peningkatan ketara ini didorong oleh pengurangan kos bahan mentah dan lonjakan permintaan untuk tiang khusus dalam sektor telekomunikasi. 

 

Oleh itu, kumpulan tersebut menyaksikan pertumbuhan hasil sebanyak 29.28% kepada RM106.14 juta pada 9MFY23, berbanding RM82.10 juta pada 9MFY22.

 

Por berkata walaupun syarikat akan terus menumpukan kepada penawaran sektor telekomunikasi, terutamanya permintaan yang meningkat untuk tiang khusus mereka berikutan pelancaran inisiatif JENDELA di seluruh negara, Mestron juga sedang meneroka peluang penggabungan dan pemerolehan (M&A) secara akretif.  - DagangNews.com