MGB terima dua tempahan produk pratuang bernilai RM120 juta daripada Sany Alameriah Industrial di Jeddah | DagangNews Skip to main content

MGB terima dua tempahan produk pratuang bernilai RM120 juta daripada Sany Alameriah Industrial di Jeddah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - MGB Bhd menerusi anak syarikatnya, MGB International for Industry (MGBI) telah menerima dua tempahan pembelian berjumlah kira-kira 94.5 juta riyal (RM119.55 juta) daripada Sany Alameriah Industrial (SA) yang berpangkalan di Arab Saudi.

 

Kumpulan itu menjelaskan bahawa tempahan pembelian berkenaan adalah berhubung dengan kontrak yang ditandatangani antara SA dan SALD Industrial Company bagi pembekalan dan pemasangan produk pratuang yang terdiri daripada dinding, tangga, rasuk dan papak teras berongga untuk 400 vila di pembangunan Roshn Alarous.

 

“Pembekalan dan pemasangan elemen pratuang perlu disiapkan dalam tempoh 14 bulan dari tarikh permulaan, iaitu tarikh penerimaan bayaran pendahuluan atau pelan terperinci yang diluluskan dikemukakan, yang mana terdahulu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Roshn Alarous, yang terletak di utara Jeddah, Arab Saudi, merupakan pembangunan berprestij tinggi berkeluasan lebih 4 juta meter persegi dan akan menawarkan lebih daripada 18,000 unit kediaman setelah semua fasa dibangunkan sepenuhnya.

 

Roshn merupakan pemaju hartanah yang disokong oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) kerajaan Arab Saudi. PIF merupakan dana aset kerajaan Arab Saudi dan merupakan dana negara terbesar di dunia dengan lebih daripada AS$700 bilion aset.

 

Selaras dengan sokongan terhadap Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi, Roshn menyasarkan untuk menyediakan 400,000 buah rumah menjelang 2030, dengan 30% daripadanya merupakan perumahan baharu.

 

MGBI menandatangani perjanjian usaha sama dengan SA pada Julai tahun lepas sebagai pengendali kilang konkrit pratuang SA di Jeddah dan ini merupakan projek antarabangsa pertama MGB.

 

"Tempahan pembelian tidak akan memberi kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kasar syarikat," kata kumpulan itu.

 

Pada pukul 3:24 petang ini, saham MGB menokok 1.5 sen atau 2.4% kepada 65 sen dengan permodalan pasaran kumpulan itu berjumlah RM384.6 juta. - DagangNews.com