KUALA LUMPUR 19 Jun - Anak syarikat MGB Berhad, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Arqhitectnia bagi pihak Seloka Sinaran Sdn Bhd untuk cadangan projek pembangunan di Sepang bernilai RM156.8 juta.
Projek itu akan dijalankan di tiga bidang tanah, di mana projek pertama dijangka bermula pada 1 September 2023 dan siap pada 30 November 2024, manakala tanah kedua dan ketiga masih belum mempunyai tempoh masa.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, petak pertama akan terdiri daripada pembinaan 317 unit rumah teres satu tingkat, pusat komuniti, pondok pengawal dan dua pencawang elektrik TNB.
Bagi projek kedua pula, ia terdiri daripada kawasan kediaman dan dua pencawang elektrik TNB, manakala projek ketiga hanya terdiri daripada rumah kediaman.
MGB berkata buku pesanan tertunggaknya kini berjumlah kira-kira RM1.85 bilion dengan penambahan kontrak tersebut.
Tambahnya, kontrak itu tidak akan memberi kesan terhadap modal saham yang diterbitkan tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesahamnya sepanjang tempoh kontrak.
Seloka Sinaran merupakan anak syarikat LBS Bina Group Bhd, yang merupakan pemegang saham utama MGB.
Pengarah Urusan MGB Datuk Wira Lim Hock Guan juga merupakan pemegang saham utama dan Pengarah Urusan LBS Bina.
Dagangan saham MGB ditutup kekal pada 70 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran RM414.2 juta. -DagangNews.com