MHC Plantations catat untung bersih sebanyak RM16.31 juta pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

MHC Plantations catat untung bersih sebanyak RM16.31 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR 26 Julai - MHC Plantations Bhd. merekodkan keuntungan sebanyak RM16.31 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 80% daripada RM9.07 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 30.05% kepada RM180.79 juta daripada RM139.01 juta bagi tempoh sama kewangan 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada suku berkenaan, pendapatan lebih baik itu disebabkan terutamanya harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah, isirung, tandan buah segar dan buah tandan kosong masing-masing sebanyak 59%,39%, 57% dan 34%.

 

Ia menyaksikan untung bersih bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2022 meningkat 74.25% kepada RM27.78 juta daripada RM15.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga meningkat 42.07% kepada RM334.14 juta daripada RM235.19 juta.

 

Mengenai prospek kumpulan, MHC Plantations menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal kukuh pada separuh kedua 2022 berikutan bekalan minyak sawit yang ketat di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine yang masih berpanjang. 

 

Katanya, kumpulan juga akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti khususnya menerusi mekanisasi di sebalik cabaran daripada kenaikan kos pengeluaran dan masalah kekurangan buruh dalam industri minyak sawit.

 

"Kumpulan yakin, tanpa sebarang perkara tidak dijangka, akan merekodkan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2022," katanya. - DagangNews.com